Lawatan terakhir Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Asia Tengah, di negara Uzbekistan berjaya memperolehi potensi eksport sebanyak RM710 juta.
Anwar berkata demikian pada penghujung lawatan ke negara itu semalam di samping mengucapkan penghargaan di atas layanan luar biasa yang diterima delegasi Malaysia sepanjang 2 hari di sana.
"Saya zahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu. Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat.
"Saya juga amat menghargai hubungan persahabatan yang telah terjalin dengan Presiden Shavkat. Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami.
"Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Uzbekistan telah berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama Malaysia-Uzbekistan ke tahap lebih tinggi dengan potensi eksport sekurang-kurangnya RM710 juta telah termeterai," katanya.
Pada hari terakhir lawatan itu juga, kata Anwar, Kerajaan Uzbekistan menghadiahkannya sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai Chapan Bukhara.
Kemudian beliau diiringi ke lapangan terbang oleh Timbalan Perdana Menteri Pertama Uzbekistan, Achilbay Jumaniazovich Ramatov dan pimpinan lain sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Secara keseluruhan, PM berpuas hati dengan lawatan rasmi ke tiga negara Asia Tengah itu bermula di Kyrgyzstan pada Selasa, disusuli Kazakhstan pada Khamis.
"Kunjungan ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan sekurang-kurangnya berjumlah lebih RM2.1 bilion, yang bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ini yang telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah," katanya lagi.
Comments