top of page

Lawatan ke Astana Hub lonjak visi pacu inovasi Selangor - MB

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 24
  • 1 min read

DS Amirudin dalam rangka lawatan rasmi ke Republik Kazakhstan mengadakan kunjungan ke Astana Hub
DS Amirudin dalam rangka lawatan rasmi ke Republik Kazakhstan mengadakan kunjungan ke Astana Hub

Oleh: Azuan Ab Rahman


Delegasi Kerajaan Selangor yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Republik Kazakhstan mengadakan kunjungan ke Astana Hub, pusat teknologi terbesar di Asia Tengah.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Astana Hub berperanan sebagai hab inovasi global yang menghimpunkan ekosistem lengkap bagi perusahaan rintis (startup) dan syarikat teknologi, sekali gus membantu memperluas capaian ke pasaran antarabangsa.


"Astana Hub menjadi nadi utama pertumbuhan ekonomi digital Kazakhstan dengan ribuan syarikat teknologi tempatan dan antarabangsa bernaung di bawahnya.


"Pengalaman ini memberi inspirasi kepada Selangor untuk terus memperkukuh ekosistem startup dan memperkasa usahawan digital. Negeri ini berada pada landasan tepat untuk menjadi pemacu inovasi serantau," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Sabtu.


Untuk rekod, Selangor sedang mengukuhkan ekosistem digital dan keusahawanan menerusi pelbagai inisiatif seperti inisaitif Retail-X dibawah program Selangor Twin Accelerator Programme.


Insiatif yang memberi tumpuan kepada transformasi digital sektor runcit itu memperkenalkan modul-modul seperti pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan inventori pintar, strategi penjualan pelbagai saluran (omnisaluran) menawarkan sokongan bernilai sehingga RM300,000 kepada usahawan.


"Justeru dengan inisiatif antaranya Selangor Sandbox, Selangor Innovation and Entrepreneurship, serta pembangunan ekosistem AI-ready melalui Selangor Multi-Cloud Services, ditambah peranan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) sebagai agensi pelaksana utama, saya yakin Selangor berada pada landasan tepat untuk menjadi pemacu inovasi serantau.


"Insya-Allah, kunjungan ini memperkukuh visi untuk menjadikan Selangor sebagai pusat ekonomi digital serta hab teknologi dan inovasi yang berdaya saing di peringkat dunia," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page