'Lawatan ke Afrika dan PMX yang tidak pernah letih'
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 2 min read

"Ini adalah permulaan sebuah perjalanan yang tidak pernah saya bayangkan sebagai seorang ADUN dan ahli parti."
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan yang baru baru ini diundang mengikuti delegasi rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya — sebuah pengalaman yang disifatkannya sebagai jauh lebih besar daripada sekadar tugasan diplomatik.
Menurut Kumaresan, pada awalnya lawatan tersebut disangkakan hanya melibatkan penyertaan dalam mesyuarat dan acara rasmi kerajaan, namun apa yang berlaku di lapangan mengubah persepsi beliau sepenuhnya.
"Rupanya saya silap," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut ADUN itu, sejak hari pertama, beliau menyaksikan sendiri betapa padatnya jadual Perdana Menteri yang dipenuhi mesyuarat, rundingan diplomatik, sesi ekonomi dan pertemuan rasmi yang berlangsung dari pagi hingga lewat malam.
"Dari pagi hingga lewat malam, tiada ruang rehat panjang, tiada masa bersantai. Program demi program berjalan tanpa henti mesyuarat, rundingan, pertemuan diplomatik, forum ekonomi semuanya dilaksanakan dengan fokus dan disiplin yang mengagumkan," ujarnya.
Beliau juga berkongsi pengalamannya di dalam pesawat, yang mana beliau menyangka Perdana Menteri akan mengambil masa untuk berehat setelah jadual yang panjang.
Namun sangkaannya meleset.
"Beliau (PM) menghabiskan masa menyemak dokumen, membaca laporan, menulis nota, menandatangani fail, dan bersedia untuk sidang media."
Menurutnya, apa yang dilihat secara dekat itu menjelaskan kenapa Datuk Seri Anwar dihormati pemimpin dunia, sekaligus menolak dakwaan kononnya lawatan luar negara Perdana Menteri hanya bersifat santai.
"Ada orang kata, Anwar selalu ke luar negara. Anwar pergi melancong, habiskan duit kerajaan.
"Tetapi jika mereka melihat apa yang saya lihat. Jika mereka berada walau satu hari saja dalam jadual delegasi ini. Mereka akan tahu bahawa tiada satu pun lawatan ini bersifat santai," katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap minit lawatan itu dipenuhi usaha membawa masuk peluang pelaburan, memperkukuh hubungan antarabangsa dan mengangkat nama Malaysia ke peringkat global.
Sebagai wakil rakyat muda, beliau turut mengakui kepenatan yang dirasai sepanjang mengikuti delegasi itu — namun kagum melihat stamina kerja Perdana Menteri yang telah berumur 80 tahun.
"Boss… tak letih ka?" katanya ketika bertanya kepada Datuk Seri Anwar.
Perdana Menteri menjawab dengan nada tenang tetapi penuh makna: "I’m committed to reform this country."
Menurut Kumaresan lagi, jawapan ringkas itu memberi inspirasi mendalam, sekali gus menyedarkannya bahawa reformasi bukan sekadar slogan tetapi dizahirkan melalui ketekunan dan disiplin seorang pemimpin.
Justeru itu beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Perdana Menteri.
"Salute saya kepada Perdana Menteri kita. Seluruh rakyat Malaysia patut berbangga memiliki seorang pemimpin yang bekerja tanpa henti demi negara," katanya.









Comments