Oleh: Abdullah Zaid
Laungan azan yang syahdu bergema di Istana Negara pagi ini mengiringi keberangkatan balik Ketua Utama Negara, Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka dan Tunku Azizah juga kelihatan sebak ketika azan berkumandang, sebelum menaiki kenderaan khas diraja.
Dalam pada itu, keberangkatan pulang baginda berdua turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dan isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.
Ketika meninggalkan Istana Negara, kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melintasi Kawalan Kehormatan Darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak, yang turut mempersembahkan 'Hormat Diraja' di Dataran Istana Negara.
Seri Paduka berdua selepas itu berangkat ke Dataran Parlimen untuk Istiadat Keberangkatan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintahan sebelum menuju ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat pulang ke Pahang.
Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong antara lain bagi menjunjung kasih tanda penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas jasa dan pengorbanan Seri Paduka berdua.
Istiadat khas itu dijangka berlangsung ringkas, namun penuh simbolik dengan adat istiadat Melayu yang melambangkan keunikan institusi diraja di negara ini.
Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan 2019.
Comentarios