Latihan laut bersama Turkiye–Mesir: Kerjasama ketenteraan positif - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan
- Sep 21
- 1 min read

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar), menyifatkan kerjasama ketenteraan antara negara-negara Islam di Timur Tengah yang telah bermula sebagai langkah strategik demi kestabilan rantau dalam menghadapi rejim Israel.
Beliau merujuk kepada pengumuman Turkiye dan Mesir yang akan mengadakan latihan laut bersama di Laut Mediterranean Timur pada 22–26 September ini, yang merupakan kali pertama selepas 13 tahun hubungan kedua-dua negara tegang.
"Kerjasama Turkiye–Mesir ini adalah sangat strategik. Turkiye mempunyai armada tentera yang hebat dengan teknologi ketenteraan terkehadapan, manakala Mesir juga memiliki armada tentera terbesar di Afrika," katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Zulkifli, hubungan Turkiye–Mesir mula pulih sejak 2023 dengan pelantikan semula duta, lawatan pemimpin, serta kerjasama dalam menentang operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan serupa juga dapat dilihat menerusi kerjasama ketenteraan Arab Saudi–Pakistan, yang lahir daripada momentum Sidang Kemuncak Tergempar Arab–Islam baru-baru ini.
"Kita menyaksikan beberapa tindakan positif hasil Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam baru-baru ini.
"Saya turut menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Sidang tersebut di Doha, Qatar, di mana Malaysia menzahirkan pendirian tegas, dan PMX turut mengadakan pertemuan dengan ramai tokoh pemimpin negara-negara Islam.
"Hakikatnya, perlu lebih banyak kerjasama sebegini antara dunia Islam," ujarnya.
Dr Zulkifli berharap kuasa negara negara Islam akan semakin kuat pada masa depan dengan kerjasama ketenteraan bagi mengimbangi tindakan semberono Israel.
Comments