Larangan jentera berat guna lebuh raya tidak praktikal, LLM perlu kaji semula
- Suara Keadilan
- 16 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Foad
Arahan terbaharu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang melarang kenderaan jentera berat bergerak perlahan menggunakan lebuh raya telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pemain industri susulan gangguan besar terhadap operasi harian dan kos logistik.
Arahan yang dikeluarkan pada Ogos lalu itu mewajibkan semua syarikat konsesi lebuh raya memasang papan tanda “No Slow-Moving Vehicles” di pintu masuk lebuh raya, sekali gus menguatkuasakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan lebuh raya oleh jentera seperti traktor, backhoe loader dan wheel loader.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung (gambar atas) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang Chua Wei Kiat dalam kenyataan bersama membangkitkan aduan Persatuan Pemilik Jentera Pembinaan Berat Malaysia tentang larangan itu yang menjejaskan kelancaran operasi industri.
"Sejak September lalu mereka telah membangkitkan tiga isu utama yang menekan industri iaitu kekurangan serius tapak simpanan jentera yang sah dan sesuai, kekurangan tenaga kerja dan beban cukai yang menjejaskan kelangsungan perniagaan.
"Kesemua isu ini masih belum diselesaikan dan dengan pelaksanaan larangan terbaharu ini, pengusaha kini berdepan cabaran operasi tambahan yang lebih berat," kata kenyataan itu.
Susulan pertemuan dengan pemain industri pada 17 Disember, Chean Chung dan Wei Kiat berkata pihaknya memahami niat LLM untuk meningkatkan keselamatan jalan raya namun pendekatan polisi "pukul sama rata" untuk semua memberi kesan nyata kepada operasi, logistik dan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur.

"Ramai pemilik backhoe dan jentera berat adalah pengusaha mikro. Apabila lebuh raya tidak lagi boleh digunakan, mereka terpaksa mengambil laluan alternatif yang tidak praktikal atau menyewa treler khas untuk mengangkut jentera," katanya.
Kenyataan itu berkata keadaan itu menyebabkan peningkatan kos perjalanan, masa operasi dan perbelanjaan keseluruhan yang akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna serta orang awam.
"Keselamatan memang penting tetapi pelaksanaan dasar mesti mengambil kira realiti operasi dan ruang kelangsungan industri. Tanpa fleksibiliti dan komunikasi, kesannya akan dirasai sepanjang rantaian bekalan ekonomi," katanya.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa persatuan tersebut telah menghantar surat rasmi kepada LLM pada November lalu mencadangkan pendekatan kawal selia berasaskan waktu tertentu bagi kenderaan bergerak perlahan di lebuh raya sebagai alternatif kepada larangan mutlak.
Namun sehingga kini, kata kenyataan itu, agensi kawalan lebuh raya tersebut tidak memberikan maklum balas rasmi.
"Pihak berkuasa perlu berunding dengan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan dasar yang memberi kesan meluas bagi mengelakkan kekeliruan dan beban selepas pelaksanaan," katanya.
Cheng Chung berkata pihaknya akan terus membawa isu berkenaan kepada LLM dan menggesa agar situasi sebenar pengusaha diambil kira selain membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih praktikal dan seimbang.
Jelas kenyataan itu, pihak persatuan turut membangkitkan masalah kekurangan tapak simpanan jentera berat yang kini semakin kritikal khususnya di Lembah Klang.
"Tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan dan kekangan zon guna tanah menyebabkan ramai pengusaha diarahkan mengosongkan tanah terpencil atau terbiar yang sebelum ini disewa, sekali gus meninggalkan ratusan jentera tanpa lokasi simpanan sah," kata kenyataan itu.
Tambahnya masalah itu serius di Lembah Klang melibatkan kawasan berkepadatan tinggi projek pembinaan dengan pilihan tanah alternatif yang mematuhi syarat amat terhad.
"Persatuan memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu ini dalam jangka panjang bukan sahaja menjejaskan industri penyewaan jentera, malah boleh memberi kesan langsung kepada kemajuan projek infrastruktur dan pembinaan negara," katanya.
Wei Kiat pula berkata beliau akan bertindak sebagai penghubung lebih rapat antara kerajaan dan industri serta membawa perkara itu kepada kerajaan negeriu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang bagi mencari penyelesaian menang-menang.
"Hanya melalui libat urus berterusan dengan pemain industri, kita boleh memastikan keselamatan awam terpelihara tanpa menjejaskan kelangsungan sektor pembinaan dan infrastruktur yang penting kepada pembangunan negara," kata kenyataan itu.





