Laporan selesai konflik mahkamah sivil-syariah dihantar kepada MKI
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Cadangan-cadangan bagi menyelesaikan konflik pertembungan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah telah dihantar dalam satu laporan komprehensif kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI).
Bagaimanapun laporan tersebut bertaraf sulit dan tidak dibenar disebarkan sehingga pengumuman rasmi dibuat, demikian menurut seorang ahli jawatankuasa khas laporan itu.
Cadangan yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam turut dihantar kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan menitahkan penyediaan laporan itu ketika menerajui MKI sebelum ini.
"Beta mengucapkan tahniah serta penghargaan dan terima kasih atas penyempurnaan tugas yang cemerlang di dalam penyediaan laporan yang lengkap serta komprehensif kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas ini (Tun Zaki Tun Azmi) serta semua ahli jawatankuasa," titah Sultan Sharafuddin dalam surat kepada Zaki bertarikh 6 Jun lalu.
Surat yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang itu dimuat naik dalam hantaran Facebook peguam Dr Zulqarnain Lukman, salah seorang anggota jawatankuasa khas tersebut hari ini.
Dalam surat tersebut Sultan Selangor bertitah, jawatankuasa khas berkenaan difahamkan telah bersidang selama tempoh setahun dengan mengundang pakar-pakar dalam pelbagai bidang perundangan termasuk syariah.
Selain itu titah baginda, jawatankuasa itu juga melakukan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan untuk menyediakan satu laporan mengandungi cadangan-cadangan bagi menyelesaikan konflik pertembungan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.
"Semoga jasa dan khidmat Tun (Zaki) serta semua ahli jawatankuasa khas dalam usaha memartabatkan perundangan syariah di Malaysia diberkati dan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT dan segala hasil usaha ini dapat dimanfaatkan seluruh masyarakat Islam di negara ini," titah baginda lagi.
Sultan Sharafuddin telah menitahkan penubuhan jawatankuasa khas itu dalam mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023.
Jawatankuasa khas itu dianggotai oleh Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Senator Datuk Salehuddin Saidin, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman, Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Hashim, Datuk Anas Ahmad Zakie, Shamsul Bolhassan, Azirul Liza Abdullah, Prof Dr Farid Sufian Shuaib, Musa Awang dan Dr Zulqarnain Lukman.
Antara tujuan penubuhannya adalah bagi membuat kajian mendalam tentang persoalan undang-undang berbangkit berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan keupayaan DUN dalam kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan membuat penyelesaikan menyeluruh terhadap isu-isu tersebut.
Pada Februari 2024, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (Seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16).
Dalam pada itu Zulqarnain dalam hantarannya berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara telah hadir dalam sesi pembentangan oleh jawatankuasa khas tersebut.
Katanya sebanyak 43 sesi mesyuarat telah diadakan dengan diuruskan pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Laporan tersebut telah dititahkan oleh Sultan sebagai berstatus sulit serta tidak dibenarkan untuk disebarkan sehinggalah pihak yang berkenaan membuat pengumuman rasmi.
"Oleh itu, semua pihak hendaklah faham akan hal ehwal agama ini hendaklah mendapat perkenan daripada Sultan dari negeri masing-masing," kata Zulqarnain.
Comments