top of page

Laporan JKSTUPKK dapati Kementerian Pertahanan 'ikut cakap' kontraktor





Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi menyiasat pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mendapati Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak mengutamakan kepentingan dan pandangan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Hal itu terkandung dalam laporan JKSTUPKK yang dinyahkasifikasi mulai semalam.


Laporan itu mendedahkan kaedah penetapan pemilihan reka bentuk, Sistem Pengurusan Tempur (CMS) dan sebahagian peralatan utama berdasarkan kepada syor dan pandangan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).


"Keputusan tersebut tidak memihak kepada TLDM selaku pengguna akhir yang sewajarnya lebih arif dalam menentukan peralatan yang dipilih menepati spesifikasi dan keperluan operasi," kata laporan itu dipetik.


JKSTUPKK juga mendapati rundingan harga yang diadakan berdasarkan tawaran BNS adalah tidak realistik kerana BNS menawarkan harga perolehan projek dalam tempoh selang sehari iaitu pada 15 dan 16 Oktober 2012 dengan perbezaan sebanyak RM224.59 juta.


Laporan menemukan syarat pembinaan kapal yang lebih memihak kepada kontraktor berbanding kerajaan dalam peraturan penyiapan kapal, iaitu penetapan berkenaan Liquidated Damages (LD) atau ganti rugi jumlah tertentu sehingga maksimum 12 bulan amat merugikan kerajaan kerana tuntutan LD tidak boleh dikuatkuasakan bagi kelewatan melebihi 12 bulan.


"Ini jelas menunjukkan peruntukan syarat berhubung LD ini telah tidak menjaga kepentingan kerajaan dan malahan kelak akan menyebabkan kehilangan hasil negara bagi kelewatan penyerahan kapal melebihi 12 bulan.


"Sehingga sekarang LCS1 telah mengalami kelewatan sebanyak tiga bulan dari tarikh penyerahan yang ditetapkan iaitu April 2019. Ini bermakna, LD hanya dikenakan selepas 12 bulan kelewatan iaitu April 2020," menurut laporan itu.


Dalam pada itu JKSTUPKK turut menjangkakan kos pembinaan enam LCS terbabit akan terus meningkat susulan pertukaran peralatan utama kerana pembinaan yang mengambil masa panjang, yang turut melibatkan implikasi masa tambahan penyerahan kapal.


"Berdasarkan surat syarikat BNS bertarikh 16 Julai 2019, bagi menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal LCS, ia memerlukan anggaran tambahan kos sebanyak RM1.416 bilion yang terdiri daripada kos langsung berjumlah RM58.41 juta dan juga kos tidak langsung berjumlah RM1.358 bilion ekoran pertukaran peralatan dan jadual pelaksanaan.


"Kos tidak langsung melibatkan pelanjutan tempoh Basic Design, Design Authority, jadual penghantaran peralatan, waranti, insurans dan kos kewangan serta sumber lain menjadikan anggaran keseluruhan kos projek berjumlah RM11.145 bilion sehingga laporan ini dikemukakan," menurut laporan itu lagi.


Sebelum ini bekas pemimpin Kerajaan BN seperti Najib Razak dan Zahid Hamidi menyalahkan PH atas kelewatan pembinaan LCS. Bagaimanapun mantan Menteri Pertahanan PH, Mohamad Sabu dan mantan timbalannya Liew Chin Tong bertegas pembinaan kapal tersebut telah pun mengalami pelbagai masalah sejak era BN.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page