Laporan FELDA laksana pembangunan secara haram, palsu - Ahmad Said
- Suara Keadilan
- 27 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menganggap laporan memetik beliau berkata FELDA melaksanakan pembangunan secara haram adalah palsu.
Beliau dalam kenyataan berkata petikan berita tersebut sebenarnya adalah kenyataannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2010, sebelum syarikat FGV Holdings ditubuhkan.
"Untuk hal pertikaian melibatkan Felda - FGV - kerajaan Terengganu hari ini, saya menyeru perundingan damai antara kerajaan pusat dan negeri dengan menghormati hak semua pihak serta kepentingan rakyat," katanya dalam muat naik di Facebook.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar berbahasa Melayu semalam menyatakan bekas Menteri Besar Terengganu itu mengakui FELDA melaksana pembangunan secara haram.
Laporan itu menyatakan kononnya Ahmad Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata kerajaan Terengganu berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas FELDA berikutan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.
Beliau dipetik sebagai berkata, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar diusahakan dengan ladang kelapa sawit oleh FGV tidak mematuhi syarat, terutama tidak memasukkan peneroka.
Katanya, tanah diterokai masing-masing di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun itu adalah hak milik kerajaan negeri selagi tidak ditukar hak milik kepada FELDA.
Isnin lalu, kerajaan negeri mengeluarkan notis larangan pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang dipasang serentak di 10 kawasan iaitu di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik Kerajaan Negeri yang diteroka sejak 40 tahun lalu.





