Lapor segera kejanggalan perolehan, tuntutan palsu


Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) menyeru semua pihak, khususnya penjawat awam, agar tidak teragak-agak melaporkan sebarang salah laku di tempat kerja yang menyalahi undang-undang.
Ketua Pengarahnya, Mohd Hisyamuddin Ghazali (gambar) menegaskan bahawa pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti kejanggalan dalam proses perolehan dan pemalsuan tuntutan tidak boleh dilindungi lagi dan perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.
"Saya menyeru seluruh warga JKOM agar tidak takut untuk bersuara. Jika anda melihat amalan yang bertentangan dengan SOP, proses perolehan yang meragukan, atau percubaan memalsukan tuntutan, laporkan dengan segera.
"Pengurusan tertinggi sentiasa menyokong dan akan melindungi mereka yang berani mempertahankan prinsip kebenaran," katanya dipetik laporan media.
Terdahulu beliau yang turut dikenali sebagai Sham Ghaz hadir ke Majlis Penutup Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) JKOM di Putrajaya.
Bengkel bertujuan mengenal pasti titik buta (blind spots) yang berpotensi menjadi ruang berlakunya rasuah, ketirisan, mahupun salah guna kuasa.
Beliau sementara itu turut menyeru JKOM tampil bukan sahaja sebagau jabatan yang bukan sahaja cemerlang dalam tugas penyampaian maklumat kepada rakyat, tetapi juga bersih, dan telus dalam tadbir urusnya.




Comments