
Lantikan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dilakukan hampir setahun lalu.
Menurut Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelantikan beliau itu sama sekali tidak dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sebagaimana didakwa oleh pengkritik.
"Lantikan itu dibuat hampir setahun lalu. Mengambil masa 6 bulan untuk AS mengesahkan.
"Jadi bila saya datang (sebagai PM), melainkan kalau ada hujah yang terlalu keras menentang, maka kerajaan sekarang hanya mengesahkan (pelantikan). Kerana membatalkan itu akan menimbulkan banyak masalah," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Anwar, hanya pengumuman sebagai duta sahaja yang ditanggungkan oleh Yang di-Pertuan Agong di atas permohonannya kerana keperluan untuk membentuk kabinet terlebih dahulu.
"Proses pengesahan AS itu agak panjang.
"Setelah disahkan saya ambil alih (kerajaan), saya hanya mohon kepada Agong menangguhkan sedikit tentang watikah itu supaya saya susun dulu Jemaah Menteri dan saya harus maklumkan (pelantikan) kepada Jemaah Menteri," katanya lagi.
Sejak semalam, pelbagai komen berhubung pelantikan Nazri dilontarkan oleh warga net, malah beberapa ahli politik pembangkang turut mengkritik seolah olah lantikan tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri ketika ini.