Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan untuk menghentikan tohmahan yang dibuat ke atas kabinet perpaduan yang dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.
Menurut Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, Kerajaan Perpaduan telah dititah dan dibentuk atas nasihat Yang di-Pertuan Agong. Hal itu katanya berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan 1.0 yang Muhyiddin pernah sertai dahulu, terutama berkenaan lantikan para Menteri.
"Kerajaan Perpaduan telah dilantik dan dibentuk atas titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Mungkin Tan Sri Muhyiddin lupa, tetapi ini bukanlah Kerajaan PH (1.0) di mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang dia ingini.
"Ini adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri," kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, PM Kerajaan Perpaduan tidak berkuasa mutlak menamakan calon calon menteri, sebaliknya mereka dicalonkan oleh parti masing masing.
"Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak puas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain," katanya.
Selain itu, Ketua Penerangan KEADILAN itu juga memberi jaminan lantikan ke jawatan Menteri tidak bermakna kes mahkamah yang melibatkan mana mana Menteri akan digugurkan begitu sahaja, dan Kerajaan tidak campurtangan dalam perjalanan perbicaraan sebagaimana ditohmah pembangkang.
Kepada Muhyiddin, Fahmi menasihatkan agar menghentikan politik tohmahan dan mengelirukan masyarakat Melayu dengan naratif yang dimainkan.
"Tan Sri Muhyiddin, hentikanlah serangan polemik yang mengeruhkan dan cuba mengelirukan rakyat.
"Penting untuk kita ingat bahawa Tan Sri Muhyiddin sendiri punyai banyak isu yang mungkin perlu diteliti dan ditelusuri kelak, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik," katanya lagi.
Comments