Lantik Timbalan Exco Johor tiada dalam Perlembagaan - Hassan Karim
- Akmal Manaf

- 7 hours ago
- 1 min read

Pelantikan 10 Timbalan Exco Johor wajar disemak dari sudut perundangan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar).
Perkara tersebut menurutnya perlu diteliti berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
"Sekarang ada 10 lagi ADUN dilantik sebagai Timbalan Exco. Saya puas rujuk dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ada disebut di sini tentang peruntukan jawatan Timbalan Exco.
"Undang-undang menetapkan tidak lebih daripada 10 Exco, tapi sekarang sudah lantik (tambah) lagi 10 Timbalan Exco.

"Saya berharap Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan penasihat undang-undang negeri Johor tengoklah perkara ini," katanya dalam satu siaran video.
Terdahulu, Onn Hafiz dilapor berkata, pelantikan timbalan itu bertujuan memperkukuhkan gerak kerja pentadbiran kerajaan negeri ke arah merealisasikan agenda Maju Johor 2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
Beliau berkata sebagaimana dilaporkan, ADUN Rengit, Zaidi Jafar dilantik sebagai Timbalan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala ADUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdul Rahim sebagai Timbalan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Turut dilantik, ADUN Pemanis, Anwar Abdul Manap sebagai Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam; ADUN Tenggaroh, Mohd Youzaimi Yusof (Timbalan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar); ADUN Mahkota, SYED Hussein Syed Abdullah (Timbalan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta ADUN Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri (Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi).
Selain itu, ADUN Johor Jaya, Chan San San dilantik sebagai Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; ADUN Gambir, Sahrihan Jani (Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); ADUN Layang-Layang, Chua Jian Boon (Timbalan Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya) dan ADUN Kahang, V Rugendran (Timbalan Exco Pendidikan dan Penerangan).




Comments