top of page

Langkah kerajaan beri subsidi, tambah bantuan pesawah disambut baik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 29
  • 1 min read
Ishak Taib menganggap tambahan bantuan kepada pesawah langkah terbaik pada masa ini. Foto kredit: MG
Ishak Taib menganggap tambahan bantuan kepada pesawah langkah terbaik pada masa ini. Foto kredit: MG

Komuniti pesawah menyambut baik langkah Kerajaan MADANI mengekalkan pelbagai rantaian subsidi input dan bantuan tunai untuk mendepani kenaikan kos di peringkat global susulan pergolakan di Asia Barat.


Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ishak Taib berkata pengekalan subsidi baja, racun serta tambahan peruntukan bagi subsidi bajak dan jentuai dianggap sebagai 'talian hayat' kepada komuniti itu, sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kos operasi peladang yang semakin mencabar.


"Bantuan itu bukan sahaja meringankan beban modal awal, malah memastikan pesawah dapat terus mengusahakan tanaman meskipun berdepan kenaikan harga input pertanian di peringkat antarabangsa.


"Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan subsidi baja dan racun serta menambah subsidi bajak kepada RM300 serta subsidi jentuai sebanyak RM50 bagi setiap hektar. Ini adalah respons terbaik yang sangat membantu petani di lapangan," katanya dipetik.


Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr Mohd Zukime Mat Junoh dipetik laporan Astro Awani menyifatkan langkah kerajaan mengekalkan subsidi input sebagai langkah wajar bagi memastikan pesawah mampu bertahan dalam jangka masa pendek dan sederhana.


Intervensi tersebut tegasnya, penting bagi mengekalkan kestabilan output harga padi meskipun harga baja dan racun di pasaran global menunjukkan trend peningkatan.


Sebagai langkah penambahbaikan, Dr Mohd Zukime menyarankan penubuhan sekretariat pemantauan kebajikan petani di peringkat nasional bagi mempercepat keputusan berkaitan isu kebajikan dan pendapatan pesawah.


Dalam masa sama beliau turut menekankan kepentingan pelan tindakan jangka pendek dan sederhana yang inklusif bagi memastikan industri keselamatan makanan negara kekal stabil di sebalik tekanan ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.

1 Comment


Con Ga
Con Ga
2 days ago

the visual quality of escape road is remarkable considering it runs instantly in any browser with zero downloads. crisp environments, fluid animation, and spectacular chase effects make it look far more expensive than it costs to play — completely free!

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page