Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng berpandangan siri laporan polis di seluruh negara berkenaan isu komplot menjatuhkan kerajaan wajar disambut oleh anggota parti di peringkat cabang.
Beliau mengulas perkara berkenaan selepas menerima maklumat daripada kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) seluruh negara beramai-ramai tampil di balai polis membuat laporan berkenaan ‘Langkah Dubai’.
"Wajar kepimpinan cabang di seluruh negara menyahut saranan dan tindakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin agar membuat laporan polis di kawasan masing-masing.
"Ini sebagai satu langkah memastikan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya terhadap pihak yang cuba menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat," katanya.
Andre juga menggalakkan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) membuat tindakan serupa ekoran komplot fitnah dan penyebaran berita palsu disebabkan langkah itu sudah sampai ke tahap ‘tidak masuk akal.’
Kelmarin laporan polis dilakukan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Wangsa Maju, Shaun Dhenesh di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.
Terdahulu Biro Guaman dan Undang-Undang AMK membuat laporan polis serupa
Ketuannya, Asheeq Ali Sethi Ali berkata, tujuan laporan polis dilakukan bagi menyiasat pendedahan penulis blog berkenaan yang kini dipercayai dalam pelarian di Manchester, United Kingdom (UK).
Laporan polis dibuat ke atas Raja Petra Kamarudin yang mendakwa komplot sedang diusahakan dengan mengumpul Akaun Berkanun selain kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memperakui komplot itu.
Comments