Akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disekat baru-baru ini selepas melanggar garis panduan media sosial tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendedahkan sebab akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disekat baru-baru.
Ditemui pemberita pada majlis penyampaian watikah komuniti MADANI peringkat zon tengah, Selangor di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam pada Ahad, Fahmi berkata akaun tersebut didapati telah melanggar garis panduan komuniti platform TikTok.
Hal itu selepas akaun tersebut jelasnya dipercayai memaparkan senjata seperti kapak dan keris yang disifatkan berunsur ugutan jenayah.
"Baru-baru ini ada usaha menimbulkan rasa gusar, apabila ada seorang tokoh politik ditahan polis.
"Semasa individu itu ditahan pihak berkuasa, saya difahamkan pada awal pagi atau tengah malam pada hari sama telah tersebar di TikTok di mana beberapa lelaki duduk di sebuah meja bersama peranti atau telefon pintar dengan gambar individu tersebut.
"Di satu sudut senjata terdapat senjata, kapar dan keris. Bagi saya dan sudah pasti bagi pihak polis, waima pihak TikTok sekalipun gambar yang ditonjolkan itu adalah ugutan jenayah," katanya dipetik.
Sesuai dengan garis panduan ditetapkan jelasnya, pihak TikTok memadam konteks tersebut tanpa menunggu arahan pihak berkuasa.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat mendakwa akaun TikToknya disekat, sekali gus menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kemudian menegaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok.
Beliau menjelaskan, aplikasi TikTok berkenaan bukan milik kerajaan, tetapi sebuah syarikat teknologi dari China.
Comments