Lancar pakej rangsangan ekonomi tangani kesan krisis Asia Barat - AMK
- Azuan Ab Rahman

- 10 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa kerajaan melancarkan pakej rangsangan ekonomi bagi menguruskan krisis berskala besar susulan kemelut geopolitik di Asia Barat.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, langkah pengendalian ekonomi itu perlu memberi fokus kepada aspek bantuan kos sara hidup, penstabilan rantaian bekalan dan logistik serta sokongan kepada perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Pekej rangsangan ini perlu meliputi perlindungan pekerjaan dan pendapatan serta langkah penjimatan tenaga.
"Jika kita gagal menyediakan langkah dan persiapan awal membantu ekonomi dan mental rakyat hari ini, kita akan berhadapan dengan krisis yang jauh lebih besar dalam masa terdekat.

"Malaysia masih mempunyai ruang untuk bertindak, namun ruang itu semakin sempit dan menuntut tindakan segera, tegas dan berani," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi kenyataan sama, beliau turut menyarankan Malaysia melaksana langkah penjimatan tenaga secara tersusun termasuk pelaksanaan kerja dari rumah dan pengurangan kebergantungan kepada penggunaan bahan api.
Manakala orang ramai turut diseru mula mengambil pendekatan bersedia, berjimat cermat dan menyesuaikan diri dengan realiti ekonomi baharu ketika ini.
"Dalam masa sama, kerajaan perlu menubuhkan pasukan komunikasi kecemasan negara bagi memastikan rakyat diberi penerangan yang jelas, jujur dan konsisten tentang situasi sebenar," tambahnya.
Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Mac lalu berkata, perkembangan geopolitik semasa termasuk serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, khususnya dari segi kos pengangkutan, perdagangan dan harga barangan import.
Tegasnya, ketika kerajaan berusaha mengambil langkah awal, rakyat dan sektor perniagaan disaran lebih berjimat cermat serta mengawal perbelanjaan bagi meminimankan kesan ekonomi akibat konflik yang belum menunjukkan tanda akan reda itu.




Comments