top of page

Lakukan pemutihan, tiada usaha tutup sekolah agama persendirian di Selangor

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Jun 17, 2023
2 min read


Kerajaan Negeri menolak sekeras kerasnya tuduhan terdapat usaha sedang dilakukan bagi menutup Sekolah Agama Persendirian di Selangor.


Menurut Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, sebaliknya usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah pemutihan Sekolah Agama Persendirian demi memenuhi titah Sultan Selangor


Untuk itu, katanya, sejak 2019 telah dibangunkan ‘Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor’.


"Usaha ini dilakukan kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj gusar terhadap peningkatan kejadian malang yang menimpa Sekolah Agama Persendirian di Negeri Selangor, terutama selepas tragedi kebakaran yang melanda sebuah Sekolah Agama Persendirian di Negeri Selangor pada tahun 2018 sehingga meragut 23 nyawa dan mencederakan 5 murid.


"Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kemudiannya telah mengarahkan sebuah Jawatankuasa Taskforce ditubuhkan bagi membantu menyelaras proses pemutihan kesemua Sekolah Agama Persendirian di Negeri Selangor," kata Zawawi dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, selepas garis panduan diluluskan maka beliau telah dilantik sebagai Pengerusi jawatankusa tersebut.


Jawatankuasa Taskforce kemudiannya, kata beliau telah bersetuju memperuntukkan masa selama dua tahun (mulai 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022) kepada kesemua Sekolah Agama Persendirian memenuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan ‘Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor’.


"Namun 416 Sekolah Agama Persendirian yang telah memulakan proses pemutihan memohon tempoh masa dilanjutkan. Jawatankuasa Taskforce mempertimbangkan permohonan tersebut dengan memperuntukkan tambahan tempoh tiga tahun bagi program pemutihan


"Jawatankuasa Taskforce juga telah memulakan langkah penambahbaikan garis panduan sedia ada untuk dipermudahkan, melalui langkah tersebut maka hanya syarat minima dikenakan kepada pengusaha Sekolah Agama Persendirian bagi menyelesaikan proses pemutihan," katanya.


Namun malang, kata Zawawi, usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri itu telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk menghentikan usaha dakwah, proses pemutihan yang sudah berlangsung semenjak tahun 2019 dianggap sebagai usaha menutup Sekolah Agama Persendirian di Selangor.


Kerajaan Negeri, katanya, turut berdukacita apabila tuduhan jahat dilemparkan kepada Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan sebagai dalang yang cuba menutup Sekolah Agama Persendirian itu.


"Tuduhan ini merupakan tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni Kerajaan Negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf Sekolah Agama Persendirian di Negeri Selangor.


"Sedangkan usaha murni yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri turut mendapat dokongan daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai oleh 478 institusi Sekolah Agama Persendirian," katanya.


Tegas beliau, usaha untuk mengangkat martabat Sekolah Agama Persendirian diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa di Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page