top of page

Label salah laku seksual antara faktor orang Melayu tolak Anwar?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 45 minutes ago
  • 3 min read
Reformasi telah berjaya membawa perobahan kepada landskap politik Malaysia namun pihak pembangkang masih menggunakan fitnah salah laku seksual 28 tahun lalu untuk memburuk burukkan Perdana Menteri
Reformasi telah berjaya membawa perobahan kepada landskap politik Malaysia namun pihak pembangkang masih menggunakan fitnah salah laku seksual 28 tahun lalu untuk memburuk burukkan Perdana Menteri

Selepas 28 tahun Reformasi bergelombang lewat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, musuh politik beliau masih meneruskan tuduhan keji para konspirator berkaitan fitnah isu salah laku liwat.


Meskipun telah menjadi Perdana Menteri, fitnah berkenaan terus memberi kesan ke atas minda sebahagian orang Melayu yang taksub dengan politik asabiyah jahiliah keagamaan.


Hal itu didedahkan oleh pemerhati politik, Fairul al Qasas.


Beliau yang juga pengamat media sosial berkata, label tersebut telah berjaya mempengaruhi persepsi masyarakat Melayu terutama di luar bandar yang hanya bergantung kepada ustaz dan pemimpin politik garis keras untuk memahami politik semasa.


"Berdasarkan pemerhatian saya, jawapan mudah ialah ‘berjayanya label PELIW@T’ kepada Anwar.


"Orang Melayu tiga benda ni dia pantang iaitu murtad, liwat dan babi," katanya dalam hantaran di media sosial.


Fairul berkata, kisah kaum Nabi Luth AS yang sering disampaikan dalam pengajian agama turut menyebabkan isu berkaitan perlakuan homoseksual dianggap amat jijik dan ditolak dalam masyarakat Melayu.


Menurut beliau, keadaan itu berbeza dengan isu rasuah dan pecah amanah yang didakwa boleh memberi kesan lebih besar kepada negara dan masyarakat.


Bagaimanapun kata beliau, orang Melayu tidak memandang jijik kepada perlakuan tersebut.


Mengulas sejarah tuduhan terhadap Anwar, Fairul mendakwa wujud konspirasi politik pada sekitar 1997 untuk menjatuhkan bekas Presiden ABIM itu, termasuk melalui tuduhan liwat.


Beliau mendakwa pihak yang terlibat ketika itu melihat tuduhan murtad dan memakan babi tidak sesuai digunakan terhadap Anwar sebelum memilih isu liwat sebagai label politik.


"Paling mudah ialah buat tuduhan liwat. Saksi boleh diupah. Bukti boleh direka.


"Maka bermula konspirasi rekayarasa peringkat tertinggi," ujarnya merujuk pada era pemerintahan Tun Mahathir Mohamad.


Fairul turut membuat perbandingan dengan kisah perbincangan Abu Jahal dan Al-Walid bin Mughirah dalam usaha melabel Nabi Muhammad SAW, sebelum akhirnya label ‘tukang sihir’ dipilih.


Bagaimanapun, beliau menegaskan Anwar bukan Nabi dan situasi yang dihadapinya tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan sirah berkenaan.


Namun Fairul berkata, Islam memberi panduan jelas dalam soal tuduhan zina atau liwat, khususnya menerusi keperluan membawa empat orang saksi.


Beliau memetik Surah An-Nur ayat 4 sebagai asas pandangannya bahawa maruah seseorang perlu dilindungi daripada tuduhan tanpa bukti yang memenuhi ketetapan syarak.


Parti agama paling kuat melabel


Dalam pada itu, Fairul mendakwa tuduhan terhadap Anwar yang bermula sejak 1998 semakin rancak pada era kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk melalui serangan terbuka daripada pimpinan dan penyokong Pas.


"Tuduhan terhadap Anwar bermula dari 1998. Namun di era PN inilah ia menjadi begitu dasyat dengan serangan bertali arus dari pimpinan dan penyokong Pas.


"Hari ini, tuduhan itu bagaikan tidak terkawal. Hampir setiap posting berkaitan Anwar, tuduhan ini, dilemparkan dan dipanjangkan," katanya.


Bagaimanapun katanya, Anwar sebagai Perdana Menteri perlu memberi tumpuan kepada urusan negara, khususnya usaha memulihkan kerosakan yang berlaku sebelum ini, berbanding memberi fokus kepada serangan peribadi.


"Sebagai Perdana Menteri, Anwar tentunya punya fokus yang lebih terhadap negara lebih-lebih lagi dalam usaha memulihkan kerosakan yang dilakukan khususnya kerosakan sejak zaman PM-6.


"Tiada masa untuk menjawab dan mengatasi isu peribadi."


Namun menurut Fairul, usaha terbaik menangani 'krisis moral' penyokong pembangkang itu adalah dengan meningkatkan ilmu dan iman.


Tegas beliau, masyarakat perlu diberi ilmu agama yang tidak menyeleweng bagi menangani budaya fitnah serta tuduhan yang dilemparkan terhadap mana-mana individu.


"Kita teruskan usaha menulis dan menerangkan. Akhir sekali terpulang kepada iman mereka," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page