Kurikulum Persekolahan 2027 fokus pembentukan karakter, kompetensi pelajar
- Suara Keadilan

- Oct 10
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksana Kurikulum Persekolahan 2027 secara berperingkat, dengan pelaksanaan awal di peringkat prasekolah akan bermula pada tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kurikulum baharu itu dibangunkan berasaskan standard dan kompetensi, dengan matlamat melahirkan generasi masa hadapan yang holistik dan berakhlak tinggi.
"Kurikulum baharu ini dibina berasaskan standard dan kompetensi, dengan penekanan kepada pendekatan yang relevan, dinamik dan kontekstual selaras dengan trend global serta pentaksiran antarabangsa seperti PISA, TIMSS dan SEA-PLM.
"Walaupun kurikulum ini akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027 bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1, peringkat prasekolah akan menjadi permulaan kepada pelaksanaan awalnya," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia di bangunan Parlimen pada Khamis.
Fadhlina menerusi hantaran sama merakamkan penghargaan kepada semua ahli Parlimen atas cadangan dan pandangan yang membantu memperhalusi kurikulum berkenaan.
"Saya amat menghargai komitmen semua yang bersungguh-sungguh mahukan yang terbaik dalam Kurikulum Persekolahan 2027 demi anak-anak kita," tambah beliau.









Comments