Kurikulum baharu pendidikan Sejarah lebih seimbang, digunakan 2027
- Suara Keadilan
- Mar 1
- 1 min read

Kurikulum baharu pendidikan Sejarah yang lebih seimbang dijangka mula digunakan di sekolah pada 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kurikulum baru itu memasukkan unsur sejarah budaya, sosial, kesenian dan sukan bagi mengimbangi kandungan sejarah politik sedia ada.
Ia dirangka bagi membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat sesuatu peristiwa, serta menghayati keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara.
"Pendekatan ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih holistik mengenai warisan dan kejayaan negara, selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid.
"Skop Sejarah dunia turut diperluaskan dengan memasukkan isu-isu antarabangsa yang relevan.
"Ini akan membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global tetapi juga mempunyai pemahaman yang lebih luas mengenai perkembangan dunia," katanya menerusi jawapan disiar laman sesawang Parlimen.
Sementara itu menurut Fadhlina, dalam usaha memupuk integrasi nasional, kandungan sejarah Sabah dan Sarawak sudah dimasukkan secara seiringan dengan negeri-negeri lain.
Langkah itu bertujuan untuk memberikan perspektif yang lebih menyeluruh mengenai sejarah Malaysia serta menonjolkan peranan dan sumbangan tokoh-tokoh tempatan dalam pembinaan negara.
"Usaha penambahbaikan kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ini akan memberi impak yang besar dalam meningkatkan penghayatan patriotisme dalam kalangan murid.
"Ia diharap dapat memperkukuh lagi kesatuan rakyat Malaysia melalui pemahaman yang lebih mendalam tentang kepelbagaian warisan negara," katanya.
Comments