Kuota subsidi RON95 kembali 300 liter, ambang e-Invois RM3 juta
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 2 min read

Bermula 1 September ini, kerajaan melaksanakan enam langkah baharu yang memberi tumpuan langsung kepada kos sara hidup, pendidikan, akses teknologi, kesihatan awam serta sokongan kepada perusahaan dan peniaga kecil.
Pengumuman bersempena sambutan Hari Kebangsaan itu merangkumi peluasan subsidi petrol, peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah, akses kecerdasan buatan (AI) untuk belia, pendigitalan sistem kesihatan, kelonggaran pelaksanaan e-Invois serta tambahan pembiayaan kepada usahawan mikro.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah berkenaan mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.
Antara perubahan yang paling dekat dengan kehidupan harian rakyat ialah keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan asas subsidi RON95 menerusi BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan.
Langkah itu membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati kelayakan petrol bersubsidi pada kadar berkenaan.
"Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan," katanya.
Dalam masa sama, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Penyelenggaraan sekolah naik RM500 juta
Sektor pendidikan turut menerima suntikan apabila peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah untuk 2027 dinaikkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Tambahan peruntukan itu meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
"Kementerian Pendidikan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana mulai bulan depan hingga tahun depan," kata Anwar.
100,000 belia dapat akses AI percuma
Kerajaan turut memperluas akses teknologi kepada golongan muda menerusi program AI untuk Rakyat, khusus bagi mereka berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan.
Kemudahan itu turut merangkumi aplikasi AI daripada syarikat tempatan serta platform dari China dan akan mula disediakan pada 1 September.
RM1 bilion pendigitalan kesihatan
Dalam bidang kesihatan awam, kerajaan memperuntukkan sekitar RM1 bilion bagi pendigitalan sistem kesihatan, termasuk pelaksanaan rekod perubatan elektronik yang dihubungkan melalui internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Langkah itu dijangka mempercepatkan proses rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu pesakit di fasiliti kesihatan awam.
Ambang e-Invois dinaikkan kepada RM3 juta
Kerajaan juga menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Ini bermakna perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.
Bagi membantu peniaga kecil pula, kerajaan menambah RM1 bilion kepada kemudahan pembiayaan mikro, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Selain itu, Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta diperkenalkan bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Keseluruhannya, enam langkah tersebut memperlihatkan usaha kerajaan menghubungkan dasar ekonomi dengan keperluan rakyat, daripada perbelanjaan petrol dan pembaikan sekolah hingga akses teknologi, rawatan kesihatan dan kelangsungan perniagaan kecil.




Comments