top of page

Kumpulan pertama Misi Pasca Banjir WP ke Sabah digerakkan - Dr Zaliha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 24
  • 1 min read

Misi pasca banjir Sabah Jabatan Wilayah Persekutuan bermula dengan 80 sukarelawan
Misi pasca banjir Sabah Jabatan Wilayah Persekutuan bermula dengan 80 sukarelawan

Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menggerakkan seramai 80 sukarelawan bagi membantu komuniti terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, sukarelawan itu terdiri daripada warga JWP, Perbadanan Labuan (PL) dan Perbadanan Putrajaya.


Mereka digerakkan susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan jentera Kerajaan MADANI segera digerakkan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.


"Kumpulan pertama di bawah inisiatif Misi Pasca Banjir Wilayah Persekutuan bersama Sabah akan melaksanakan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan St. Patrick dan Tadika Pei You, Membakut.


"Selain kerja pembersihan, bekalan keperluan asas turut dihantar ke Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Membakut untuk diagihkan kepada keluarga terjejas," katanya dalam kenyataan.


Dr Zaliha memaklumkan beliau diwakili Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dalam misi berkenaan.


Antara sumbangan yang bakal diagihkan menerusi misi tersebut adalah 60 tilam, 100 bantal, 100 selimut, 60 tuala dan 60 kain sarung.


Selain itu, Jentera berat serta peralatan pembersihan milik Perbadanan Labuan juga digerakkan, merangkumi lori, penjana elektrik mudah alih, pencuci air bertekanan tinggi dan kelengkapan lain.


"Usaha ini diharap menjadi jambatan solidariti, mencerminkan keprihatinan dan komitmen Wilayah Persekutuan serta seluruh rakyat Malaysia dalam meringankan beban penduduk Sabah," tambah beliau.


Dr Zaliha sementara itu memaklumkan, fasa kedua misi bantuan akan diteruskan minggu depan di kawasan lain di Sabah yang memerlukan sokongan pasca bencana.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page