Kumaresan bersama penduduk Tmn Jade View, basmi denggi, gotong royong
- Suara Keadilan

- Jul 15
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sentiasa mendahulukan rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan turun padang mengadakan pertemuan santai bersama penduduk Taman Jade View di Bukit Gambir bagi mendengar sendiri denyut nadi komuniti yang diwakilinya.
Beliau menyifatkan, pertemuan itu sebagai ruang penting bagi penduduk untuk mengemukakan sebarang isu berkaitan kawasan yang didiami mereka.
"Dalam ucapan, saya menekankan bahawa Taman Jade View adalah tempat tinggal yang perlu dipelihara bersama agar sentiasa selamat, bersih dan selesa untuk didiami.
"Saya juga menarik perhatian bahawa kawasan ini sedang menghadapi cabaran serius berkaitan kes denggi yang merekodkan sebanyak 12 kes, sekali gus dikategorikan sebagai Wabak Tidak Terkawal (WTT).
"Pusat Khidmat Kadun Batu Uban bersama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu Chan, MPKK Taman Pekaka dan Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan pemeriksaan rumah ke rumah serta mengadakan aktiviti gotong-royong bagi membendung penularan wabak ini," katanya dalam muat naik di Facebook rasmi beliau.

Turut hadir dalam majlis pertemuan bersama penduduk yang diadakan baru-baru ini adalah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Pengerusi MPKK Taman Pekaka, Kelvin; Ketua Staf Pusat Khidmat Kadun Batu Uban, Cheah dan Pegawai Lapangan Pusat Khidmat Kadun Batu Uban, Shan.
Dalam pertemuan itu, Kumaresan memaklumkan beliau juga berkongsi berita gembira kepada penduduk setempat iaitu pada tahun lalu, taman berkenaan telah berjaya memperoleh peruntukan Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Pulau Pinang berjumlah RM292,000 bagi kerja-kerja pembaikan empat unit lif dan naik taraf sistem jawatan utama.
"YB Sim Tze Tzin turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 bagi membantu meringankan kos pembaikan lif.
"Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyumbang dalam menjayakan program ini.
"Semoga semangat kebersamaan ini terus memupuk komuniti yang lebih prihatin dan bersatu," katanya.









Comments