
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar satu permulaan baharu dilaksanakan dalam perjuangan gabungan berkenaan.
Menurut beliau DAP, Amanah dan KEADILAN harus menjadi serangkai keluarga yang mantap dan kuat bagi menyelesaikan permasalahan rakyat yang kian kronik.
"Saya tegaskan dengan rakan-rakan dalam PH kalau mahu kita bersama mesti kekal dengan landasan perjuangan. Kalau mahu bersama maka semangat dalam PH itu jangan dirungkai.
"Jangan terdesak, bergantung kepada dahan yang rapuh yang kemudian akan menikam kita sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini.
"Kita bersama dahulu dengan satu agenda yang jelas, berjuang puluhan tahun untuk mempertahankan ini (perjuangan membela rakyat). Dan kalau kita mahu, umpamanya merebut kekuasaan kerana ini mandat rakyat maka kita kena faham, apa dia mandat rakyat pada tahun 2018? Bukan soal calon perdana menteri sahaja walaupun itu telah ditandatangani dan diakui.
"Tetapi yang lebih penting daripada itu adalah mandat rakyat untuk pastikan negara ini balik sebagai suatu negara yang demokratik, yang adil yang menjamin keselesaan kepada semua, terutama kepada golongan yang miskin, terpinggir, pendalaman, Semenanjung, Sabah, Sarawak tanpa mengira kaum," katanya dalam sesi siaran Facebook malam tadi.
Dipercayai teguran Anwar itu ditujukan kepada rakan-rakan PH yang akan menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH esok hari bagi memutuskan cadangan Tun Mahathir sebelum ini menamakan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri ke 9.
KEADILAN tegas menamakan Anwar sebagai calon PM sekiranya mahu mengambilalih kerajaan daripada Perikatan Nasional
Comments