top of page

Kukuhkan integriti SPRM bersama Ketua Pesuruhjaya baharu

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 59 minutes ago
  • 1 min read

Memperkukuh integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menjadi legasi Kerajaan MADANI, kata Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat.


Beliau berkata, misi memulihkan integriti SPRM tidak akan tercapai jika sekadar menghebahkan penahanan 'ikan jerung' tanpa sebarang perkembangan lanjut.


"Kita harus melakukan sesuatu yang lebih daripada itu, bermula dengan penubuhan Suruhanjaya Siastan Diraja (RCI) untuk merungkaikan segala persoalan mengenai tuduhan 'Mafia Korporat'.


"Sikap Kerajaan MADANI terhadap penubuhan RCI memperlihatkan sejauh mana komitmen Kerajaan untuk mempertahankan integriti SPRM.


"Kita harus sedar bahawa rakyat sedang menilai komitmen itu berdasarkan tindakan yang diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Chua Wei Kiat
Chua Wei Kiat

Wei Kiat berkata, prinsip bahawa siasatan dan dakwaan tanpa pilih bulu harus menjadi pegangan Kerajaan MADANI dan sesiapa sahaja, termasuk pegawai SPRM sendiri boleh disiasat atau didakwa seandainya wujud bukti yang mencukupi.


Begitu juga, katanya, dakwaan terhadap mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini, beliau berpeluang untuk membersihkan namanya sekiranya tiada sebarang salah laku dibuat.


"Ini caranya kita mempertahankan integriti, agar semua pihak yakin dengan sistem dan institusi negara.


"Sebagai badan pencegah rasuah, integriti SPRM harus dipandang berat. SPRM bukan sahaja harus berkecuali, tetapi juga dilihat bebas daripada pihak berkepentingan.


"Pendek kata, SPRM bukan senjata politik, dan tidak harus dilihat sebagai senjata politik sang penguasa atau mana-mana pihak," katanya lagi.


Susulan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Wei Kiat berkata, Halim yang belum terbeban dengan sebarang kontroversi memikul harapan rakyat untuk melakukan reformasi terhadap suruhanjaya berkenaan.


Menurutnya, peluang pelantikan tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki imej SPRM pada masa depan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page