top of page

Kukuhkan Integriti DBKL, Bukan Tuntut Pilihan Raya Majlis Tempatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: Saya merakamkan ucapan penghargaan dan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif atas perkhidmatan beliau sebagai Datuk Bandar. Saya bernasib baik pernah berkhidmat di bawah beliau dan masih ingat jelas hari pertama beliau bertugas Ogos tahun lalu. Beliau merupakan seorang pemimpin berwawasan yang komited terhadap agenda "KL sebagai Kota Yang Boleh Didiami, Kota Yang Dicintai." (KL as Liveble Lovable City)


Saya juga mengalu-alukan lantikan Datuk Fadlun Mak Ujud, bekas Presiden Putrajaya Holdings yang merupakan seorang perancang bandar berpengalaman, sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-16. Beliau kini mengambil alih dengan mandat untuk meneruskan prinsip CHASE City. Perbezaan pendapat mengenai pilihan raya majlis tempatan tetap wujud, namun tumpuan kini harus diberikan kepada memperkasakan Datuk Fadlun untuk melaksanakan agenda profesionalnya dengan sokongan penuh daripada semua warga kota.


Pilihan raya tempatan bukan penyelesaian masalah


Pergantian jawatan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang mendadak, serta pelantikan pantas Datuk Fadlun sekitar 15 November 2025, telah mencetuskan polemik dalam kalangan ahli politik dan ahli parlimen Wilayah Persekutuan. Walaupun pertukaran jawatan adalah normal dalam perkhidmatan awam, sifat pelantikan ini telah menyuntik ketidakstabilan ke dalam perbincangan reformasi DBKL.

Lai (kiri) bersalam dengan mantan Datuk Bandar
Lai (kiri) bersalam dengan mantan Datuk Bandar

Corak tempoh perkhidmatan yang singkat, di mana Datuk Seri Maimunah dan pendahulunya, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh, kedua-duanya berkhidmat kurang daripada dua tahun, menyerlahkan masalah utama iaitu sifat pelantikan jawatan Datuk Bandar menjadikan kepimpinan terdedah kepada kehendak pentadbiran pusat.


Namun perubahan jawatan yang mengejutkan ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menuntut pilihan raya majlis tempatan. Menganggap ketidakstabilan kakitangan sebagai kegagalan struktur yang hanya boleh diatasi melalui pilihan raya adalah premis yang cacat, kerana ia gagal memahami cabaran tadbir urus sebenar Wilayah Persekutuan.


Kuala Lumpur adalah Wilayah Persekutuan, dan struktur DBKL adalah unik dan berbeza daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain, yang mana tiada Ahli Majlis, sebaliknya hanya Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Ibukota Persekutuan 1960. Walaupun lantikan ini sering disalah anggap bermotif politik, ia tertakluk kepada Akta tersebut, berbeza dengan Ahli Majlis di negeri lain.


Masalah utama yang kita hadapi—risiko rasuah, jurang kecekapan, dan kualiti perkhidmatan—adalah kebimbangan pentadbiran. Ini tidak diselesaikan melalui undi popular, tetapi melalui mekanisme kebertanggungjawaban dan ketelusan yang boleh dikuatkuasakan.


Memperkasakan DBKL menerusi kestabilan, profesionalisme


Dalam usaha menuntut pilihan raya majlis tempatan, kita seharusnya fokus kepada peningkatan keberkesanan dan memperkasakan Ahli Lembaga Penasihat sebagai langkah peralihan yang segera, bukannya tergesa-gesa melompat kepada pilihan raya tempatan. Proses peralihan ini boleh dilaksanakan sekarang.


Memperkenalkan pilihan raya tempatan berisiko mempolitikkan dewan bandar raya, mengalihkan tenaga daripada kerja teknikal pengurusan bandar ke arah kempen partisan yang berterusan.


Kita harus memperjuangkan integriti struktur dan profesionalisme pentadbiran dalam rangka kerja undang-undang DBKL sedia ada. Tindakan segera yang perlu diambil adalah untuk memperkukuh kestabilan pentadbiran dan menjamin kecekapan kakitangan awam, memastikan setiap inisiatif pembangunan, seperti agenda CHASE City, dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan tanpa gangguan politik. Pendekatan ini adalah lebih realistik dan memberi tumpuan kepada penambahbaikan segera dalam penyampaian perkhidmatan kepada warga kota.


Kita harus mengelak daripada mengejar janji yang jauh dan rumit untuk pilihan raya tempatan bagi Wilayah Persekutuan dan sebaliknya, membina tadbir urus yang kukuh berasaskan profesionalisme.


Tidak harus kita pertikaikan isu pilihan raya tempatan atau perlantikan Datuk Bandar. Biarlah Datuk Fadlun mulakan tugas dengan sokongan semua.

Penulis merupakan mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page