Kukuh kerjasama strategik ASEAN–China demi kestabilan serantau
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul menyeru kerjasama strategik antara ASEAN dan China perlu diperkukuh berlandaskan prinsip keadilan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta kestabilan serantau.
Menurut beliau, hubungan Dialog ASEAN–China yang telah terjalin lebih tiga dekad harus terus berasaskan kepercayaan, saling menghormati kedaulatan serta kepentingan bersama, khususnya dalam melindungi hak dan kebajikan rakyat serantau.
"Perancangan jangka panjang merupakan instrumen penting untuk memastikan negara-negara membangun tidak terpinggir dalam arus perubahan global yang pantas khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.
"Malaysia memilih pendekatan libat urus konstruktif melalui dialog berstruktur bagi memastikan kerjasama antarabangsa benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar menguntungkan kepentingan ekonomi elit atau kuasa besar," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya menyampaikan ucapan di majlis New Blueprint, New Horizons: Briefing on China’s 15th Five-Year Plan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Menerusi ucapannya Tan Sri Dr Johari turut menekankan kepentingan kerjasama pembangunan mampan, khususnya tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, selain memperluas hubungan rakyat dengan rakyat demi kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
Beliau turut mengalu-alukan kemajuan Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk Pelan Tindakan 2026–2030 sebagai asas penting ke arah merealisasikan ASEAN 2045 .
"Pemeteraian Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) 3.0 pada Oktober lalu juga adalah langkah tepat bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serantau dan membuka peluang kerjasama baharu.
"Malaysia mengutamakan kerjasama yang adil, telus dan berteraskan rakyat sebagai kunci kepada kestabilan dan kemakmuran jangka panjang Asia Tenggara," tambahnya.









Comments