top of page

Kuasa SPRM, hak kerahsiaan peguam perlu seimbang - Khairul Naim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menghormati kuasa undang-undang yang membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil peguam untuk membantu siasatan melibatkan mana-mana individu.


Namun, Biro Guaman dan Aduan Awam menegaskan bahawa kuasa tersebut mempunyai batas tertentu, khususnya kewajipan mematuhi Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 yang menetapkan kerahsiaan komunikasi peguam–anak guam sebagai asas penting dalam sistem keadilan.


"Kami menghormati kuasa penyiasatan yang diberikan kepada SPRM di bawah Seksyen 30 Akta SPRM 2009 untuk mendapatkan dokumen atau maklumat yang relevan.


"Dalam masa yang sama, kuasa ini hendaklah dibaca selaras dengan Seksyen 46 Akta SPRM, yang memperuntukkan bahawa sebarang arahan kepada peguam untuk mendedahkan maklumat hanya boleh dibuat melalui perintah Mahkamah Tinggi dan tertakluk kepada batas tertentu," kata Ketuanya, Khairul Naim Rafidi (gambar).


Terdahulu, SPRM dilapor mengeluarkan notis di bawah Seksyen 30(1)(a) terhadap peguam Mahajoth Singh yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei, selain menuntut dokumen tertentu serta sebuah telefon bimbit di bawah Seksyen 30(1)(b) akta sama.


Suruhanjaya itu pada Ahad mendakwa, Mahajoth dipercayai menyimpan bahan bukti penting berkaitan siasatan yang dilakukan ke atas ahli perniagaan kontroversi tersebut yang kemudian dinafikan peguam berkenaan.


SPRM sementara itu menegaskan bahawa keistimewaan peguam–anak guam adalah terhad dan ia hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit, namun tidak mengecualikan peguam daripada hadir kepada penyiasat, tidak melindungi bahan yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang, juga tidak menghalang soal siasat jika peguam merupakan saksi material yang kemudian dikritik banyak pihak termasuk Majlis Peguam Malaysia.


Sementara itu Khairul Naim dalam kenyataannya semalam menegaskan bahawa siasatan hanya dianggap sah apabila setiap proses mematuhi undang-undang.


Justeru pihaknya percaya semua proses itu dapat berjalan dengan baik selagi keseimbangan antara kuasa penyiasatan dan kerahsiaan undang-undang dihormati.


"Peguam berkewajipan bekerjasama dalam perkara yang wajar, namun kerjasama itu tidak boleh menjejaskan prinsip perlindungan komunikasi yang dilindungi oleh undang-undang.


"Keyakinan rakyat bergantung kepada penggunaan kuasa dalam batas yang ditetapkan, kami tidak akan berkompromi jika terdapat tindakan yang menjejaskan perlindungan tersebut," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page