top of page

Kuasa mutlak Lembaga Pengampunan ke atas Najib tidak wajar dipertikai



Oleh: Helmi Mohd Foad


Semua pihak termasuk ahli politik perlu menerima keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mengurangkan separuh hukuman penjara ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.


Peguam Dr Zulqarnain Lukman berkata, persoalan mengapa bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengampunan penuh sebagaimana diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini tidak seharusnya timbul.


Ini kerana tegas beliau, keputusan berkenaan datang dari punca kuasa mutlak dimiliki oleh Lembaga Pengampuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.


"Kes yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan ini memang semuanya membabitkan individu yang telah dihukum bersalah, cuma kena faham punca kuasa pengampunan, dia (lembaga) ada kuasa untuk pengampunan penuh atau hendak dikurangkan (hukuman).

"Anwar sudah berapa lama dalam penjara, Najib baru berapa tahun? Itu mungkin pertimbangan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Beliau mengulas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh daripada hukuman penjara terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.


Keputusan tersebut telah dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.


Bekas Perdana Menteri itu dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dengan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.


Sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada mesyuarat lembaga berkenaan.


Keputusan itu dibuat sehari sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari lalu.


Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.


Bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman di Penjara Kajang.


Zulqarnain yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) Amanah berkata keputusan lembagan tersebut juga mungkin dilihat dari segi kesan kepada rakyat memandangkan kes Najib melibatkan jumlah wang yang besar.


"Kes 1MDB jumlahnya besar, kalau bebaskan jadi akan memberikan isyarat yang salah kepada rakyat. (Mungkin ada orang bertanya) kenapa Najib dapat (bebas), orang lain tidak dapat, jadi mungkin itu pertimbangannya," ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Menggubal Undang-Undang Islam.


Ditanya mengenai kemungkinan ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Zulqarnain berkata pihak terbabit tidak boleh mempertikaikan kuasa mutlak Lembaga Pengampunan dan orang lain tidak boleh masuk campur.


Ditanya terdapat perbezaan keputusan yang diberikan kepada Najib dibanding Anwar, beliau menjelaskan, memang keputusan tersebut tidak sama kerana ia bergantung kepada apa bentuk alasan difailkan dalam permohonan pengampunan tersebut.


"Kena tengok alasan, kita tidak tahu apa alasan yang dikemukakan oleh Najib dan alasan yang pernah dikemukakan oleh Anwar. Beza dulu Anwar, tidak libatkan jumlah wang, itu kesan kepada peribadi.


"Rekodnya dipadamkan kerana beliau mendapat pengampunan penuh, itu kuasa mutlak Lembaga Pengampunan tidak boleh pertikai dan ia tidak boleh dibawa ke mahkamah itu untuk dicabar, harap semua pihak boleh terima," ujarnya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page