
Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikai kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menerajui negara tidak disenangi banyak pihak.
Menganggap pandangan Mahathir itu sebagai pesimis, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggesa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu supaya tidak terlalu fokus kepada agenda peribadinya.
"Dr Mahathir nampak sangat fokus beliau terlalu peribadi. Langsung tidak melihat kejayaan Anwar untuk menyatukan kerajaan yang dahulunya disebut oleh Dr Mahathir sebagai kerajaan perpaduan (selepas Tun meletak jawatan Februari 2020).
"Adakah kerana beliau tidak menjadi Perdana Menteri di atas (nama) kerajaan perpaduan ini, maka semua orang tak betul?
"Ini bukan berkaitan isu Anwar (sebagai Perdana Menteri) sebaliknya isu Dr Mahathir sendiri yang seolah-olah menganggap perpaduan itu miliknya sahaja..orang lain tak boleh," katanya dipetik
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen, berkata Dr Mahathir perlu menghormati mandat yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri dan memberi masa kepada Pengerusi Pakatan Harapan itu membuktikan kemampuannya.
"Sama ada Anwar dapat melaksanakan tanggungjawab terbabit, kita harus berikan masa kepada beliau tetapi dalam masa sebulan ini, kita dapat melihat banyak inisiatif dan hala tuju secara dasar dilakukan beliau yang mampu memulihkan ekonomi," katanya.
Warganet turut melahirkan reaksi tidak setuju dengan kenyataan Mahathir yang disifatkan tidak membantu kepada kelancaran pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
@Edie57929225 di laman Twitter berkata, “Mahathir sepatutnya memilih untuk diam atau bantu pentadbiran dengan nasihat-nasihat yang lebih bernas. Bukan zahirkan benci dan iri hati.”
Tidak kurang juga yang menggesa agar pimpinan HARAPAN mengambil langkah bersiap siaga dengan mengelakkan kemungkinan taktik jahat rampasan mandat rakyat berulang.
“Mahathir dah mula serang Anwar. Percayalah, jika ada isu begini, mereka ada rancangan. Anwar dan pasukannya perlu berjaga-jaga,” kata pengguna menggunakan nama @queen_imann.