Kritikan kosong pembangkang tidak bantu bina negara – Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN membidas kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menyifatkan Belanjawan MADANI 2026 sebagai “tempang” dan “tidak cukup berani”.
Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit (gambar) menegaskan kritikan Mohd Syahir hanya kritikan kosong yang bersifat retorik politik.
"Pihak pembangkang lebih gemar bermain persepsi politik daripada memahami realiti fiskal dan cabaran semasa negara," katanya menerusi kenyataan.
Noraziah sementara itu menjelaskan, Belanjawan 2026 berjumlah RM404.5 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu merupakan antara yang terbesar dalam sejarah negara.
Daripada jumlah itu jelasnya, RM331.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi pembangunan negara, dan RM4 bilion disediakan sebagai simpanan luar jangka bagi menghadapi cabaran tidak terduga.
"Belanjawan itu mencerminkan keberanian dan disiplin fiskal kerajaan dalam merancang masa depan rakyat, Bukan ‘belanjawan kecil’ seperti yang cuba digambarkan pembangkang," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pasir Gudang sementara itu menyindir sikap pembangkang yang hanya menyerlahkan kelemahan dan kemalasan politik pembangkang apabila tidak berani tampil dengan Belanjawan Alternatif.
"Apa pelan mereka untuk menjana hasil, menstabilkan fiskal dan membangunkan negara? Hingga kini, tiada satu pun cadangan menyeluruh pernah dikemukakan.
"Kerajaan MADANI memilih untuk bertindak, bukan berdrama politik. Rakyat tidak perlukan sandiwara, tetapi solusi, tindakan dan kestabilan," tegasnya.









Comments