top of page

Kritik secara konstruktif, guna saluran dalaman - Ketua Cabang Kepala Batas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 8
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Semua pimpinan dan anggota parti KEADILAN diseru kembali kepada semangat kolektif dengan memperkukuh solidariti, mengutamakan dialog dalaman, serta menyampaikan kritikan secara konstruktif dan bertanggungjawab.


Seruan itu disampaikan oleh Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas, Zainuddin Mohamed (gambar) yang menyifatkan parti itu kini menjadi tiang utama kepada kestabilan nasional.


Justeru katanya, segala tindakan dan kenyataan pemimpin yang berpengaruh dalam parti mestilah mencerminkan kesatuan dan keutuhan organisasi.


''Sebagai pimpinan dan Ahli Parlimen dari KEADILAN, kenyataan (Rafizi) membawa implikasi besar bukan sahaja berhubung persepsi awam terhadap institusi kehakiman, tetapi juga terhadap kestabilan politik parti dan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


''Saya menghargai kebimbangan yang dizahirkan oleh YB Rafizi. Reformasi institusi sememangnya merupakan teras perjuangan KEADILAN sejak awal penubuhannya.


''Namun sebarang kenyataan terbuka yang bersifat desakan terhadap pimpinan parti dan kerajaan wajar ditangani dengan disiplin organisasi dan kebijaksanaan strategi, agar tidak mencetus kekeliruan atau menghakis keyakinan rakyat,'' katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Zainuddin lagi, kenyataan terbuka daripada pemimpin parti terhadap keputusan kerajaan yang dipimpin parti sendiri, berisiko menimbulkan persepsi perpecahan dalam KEADILAN.


Selain itu katanya, ia juga berpotensi menggugat imej Perdana Menteri selaku peneraju Kerajaan Perpaduan.


''Ia memberi ruang kepada musuh politik untuk menangguk di air keruh dan membina naratif kelemahan dalaman parti.


''Saya menegaskan bahawa reformasi institusi perlu digerakkan secara kolektif melalui saluran dalaman parti serta platform Parlimen, tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan atau keyakinan rakyat terhadap masa depan reformasi.


''Sebagai parti reformasi yang menjunjung kebebasan bersuara, KEADILAN juga terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama, disiplin organisasi dan solidariti dalam membuat keputusan.


''Pandangan kritikal wajar dizahirkan secara berhemah dan berstrategi agar tidak menjadi senjata kepada pihak lawan,'' tambahnya.


Kepimpinan KEADILAN termasuk Datuk Seri Anwar ujarnya, kekal komited melaksanakan agenda reformasi secara berperingkat berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.


Namun kejayaan dalam hal itu ujar beliau, menuntut bukan sahaja iltizam kepimpinan tetapi juga kesatuan dan disiplin dalam kalangan anggota parti sendiri.


Semalam, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengetuai kumpulan yang dianggotai sembilan ahli parlimen parti itu menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu reformasi institusi dan pelantikan Ketua Hakim Negara.


Sebagai Ahli Parlimen katanya, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan pengasingan kuasa di antara tiga cabang Kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page