Krisis takhta N Sembilan: Pas jangan 'lari', nyatakan sikap - AMK


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat mempertikaikan sikap berdiam diri wakil rakyat Pas berhubung isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin (gambar) berkata, Pas tidak sepatutnya cuba menjarakkan diri daripada kemelut tersebut kerana mereka bertanggungjawab menjelaskan pendirian wakil rakyat mereka kepada umum.
"Adakah wakil Pas turut menyokong keputusan (menurunkan Tuanku Muhriz)? Jika menyokong, tampil dan pertahankannya. Jika membantah, nyatakan bila bantahan itu dibuat.
"Persoalan ini berkait rapat dengan tanggungjawab politik, terutamanya memandangkan PAS sebelum ini kerap menegaskan pendirian untuk mempertahankan institusi diraja," katanya dalam satu kenyataan.
Danish berkata demikian bagi merujuk kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebelum ini bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dipersetujui secara sebulat suara oleh semua ahli Exco Kerajaan Negeri.
Menerusi kenyataan yang sama, beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak boleh menjadikan sikap berdiam diri sebagai jalan keluar daripada isu berkenaan.
"Dalam keadaan penting ketika ini, diam bukan sebuah jawapan. PAS mesti jelaskan pendiriannya dan peranan wakilnya kepada rakyat Negeri Sembilan," tambahnya.
Kemelut di Negeri Sembilan memuncak selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta selepas didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September.
Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan, tindakan berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut menyatakan seseorang anggota Exco memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.




Comments