top of page

Krisis takhta N Sembilan: Jangan jadikan penjawat awam mangsa politik

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
39 minutes ago
2 min read

Kemelut politik di Negeri Sembilan tidak wajar mengheret penjawat awam sehingga menjadi mangsa percaturan politik.


Bagi Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (gambar), isu penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal bukan lagi sekadar pertikaian politik, sebaliknya membabitkan soal kedudukan, kebebasan dan kehormatan penjawat awam.


"Pada 22 September, MMKN Negeri Sembilan memutuskan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.


"Persoalannya, adakah Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk berbuat demikian?" katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Azli, Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk menggantung kedua-dua pegawai berkenaan kerana perkara itu tertakluk kepada badan perkhidmatan yang berkaitan.


"Ini bukan soal siapa betul atau siapa salah dalam kemelut politik. Ini soal sempadan kuasa.


"Penjawat awam bukan milik mana-mana parti politik. SUK bukan milik Umno. Penasihat Undang-Undang Negeri bukan milik BN atau PN.


"Mereka adalah penjawat awam yang menjalankan amanah berdasarkan undang-undang dan peraturan," katanya.


Beliau berkata, pegawai awam tidak seharusnya dijadikan sasaran hanya kerana pandangan yang diberikan berdasarkan undang-undang dan bidang kuasanya tidak menyenangkan pihak politik.


"Kalau seorang pegawai memberikan pandangan berdasarkan undang-undang dan bidang kuasanya, jangan kerana pandangan itu tidak menyenangkan pihak politik, pegawai tersebut pula dijadikan sasaran.


"Kalau kita mendakwa mahu mengangkat martabat orang Melayu, kita juga mesti menunjukkan bahawa apabila Melayu memegang kuasa, kita menghormati institusi," katanya.


Azli berkata prinsip menghormati undang-undang, penjawat awam dan institusi kerajaan perlu dipertahankan tanpa mengira perubahan politik atau kerajaan.


"Kita menghormati undang-undang. Kita menghormati penjawat awam. Kita menjaga maruah institusi kerajaan. Kita juga tidak menggunakan kuasa politik untuk menekan penjawat awam yang menjalankan tugas mereka.


"Di sinilah perbezaan pendekatan yang perlu rakyat lihat," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata apabila PH menjadi kerajaan, antara perkara yang diberi perhatian ialah pengiktirafan, kebajikan dan penghormatan terhadap penjawat awam, termasuk penambahbaikan gaji, pengiktirafan prestasi, bantuan dan bonus serta usaha meningkatkan imej dan profesionalisme perkhidmatan awam.


Azli turut mempersoalkan perkembangan di Negeri Sembilan yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai penggunaan kuasa terhadap penjawat awam dan institusi kerajaan.


"Adakah kita mahu kerajaan yang menjadikan penjawat awam takut untuk memberikan nasihat?


"Atau kerajaan yang memberi ruang kepada penjawat awam menjalankan tugas secara profesional, bebas dan berintegriti?" soalnya.


Beliau menegaskan perubahan politik tidak seharusnya menjejaskan kedudukan penjawat awam dan institusi kerajaan.


"Politik boleh bertukar. Kerajaan boleh berganti. Tetapi penjawat awam dan institusi kerajaan mesti terus dihormati.


"Jangan jadikan penjawat awam mangsa apabila politik gagal mengurus perbezaan," katanya lagi.


Pada 22 September 2026, MMKN Negeri Sembilan membuat keputusan sebulat suara menggantung tugas kedua-duanya berkuat kuasa serta-merta. Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mengumumkan keputusan itu tetapi kenyataannya tidak menyatakan alasan khusus atau kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua pegawai berkenaan.


Jabatan Peguam Negara (AGC) pula mempertikaikan kuasa MMKN untuk menggantung mereka. AGC berpandangan kuasa berkaitan pelantikan dan penggantungan SUK terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala bagi Penasihat Undang-Undang Negeri terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), berdasarkan Perkara 37 UUTKNS 1959

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page