top of page

Karnival Sukan Belia Semarak Merdeka Inderapura 2026 himpun 1,000 penyertaan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Fakhrul Anuar (lima dari kiri) bersama sebahagian penganjur dan peserta Karnival Sukan Belia
Fakhrul Anuar (lima dari kiri) bersama sebahagian penganjur dan peserta Karnival Sukan Belia

Program Semarak Merdeka Inderapura, Kuantan 2026 melabuhkan tirai dengan meriah menerusi penganjuran Karnival Sukan Belia yang menghimpunkan kira-kira 1,000 penyertaan di Taman Seri Inderapura, baru baru ini.


Bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia MADANI”, karnival itu dianjurkan menerusi Program Kepimpinan dan Kejiranan (PKK) – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Ke Arah Mencapai Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perpaduan Negara.


Sebanyak enam acara dipertandingkan iaitu Fun Run, Futsal Bawah 17 Tahun Lelaki, Sepak Penalti Bola Sepak, Shoot Bola Jaring, Sepak Takraw dan Dart.


Sambutan menggalakkan itu direkodkan menerusi penyertaan 200 peserta Fun Run, 30 pasukan sepak penalti bola sepak, 16 pasukan futsal bawah 17 tahun, lapan pasukan bola jaring, 30 pasukan sepak takraw serta 30 pasukan dart.


Karnival berlangsung bermula 5 September 2026 di Dewan dan Padang Taman Seri Inderapura sebelum kemuncaknya pada 6 September.

Pasukan futsal anak muda beraksi
Pasukan futsal anak muda beraksi

Majlis pelepasan Fun Run dan perasmian pelancaran karnival disempurnakan Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi yang juga Pengarah Program Semarak Madani Inderapura 2026.


Menurut Fakhrul Anuar, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada belia menyertai aktiviti sukan, malah menjadi medan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.


"Karnival ini bukan sekadar pertandingan sukan tetapi medan untuk memperkukuh perpaduan kejiranan dan memupuk kepimpinan belia," katanya.


Sepanjang karnival, peserta menyajikan aksi sengit dalam semua acara dengan pertandingan sepak takraw antara yang menarik perhatian menerusi libasan akrobatik, manakala pertandingan dart pula berlangsung dalam suasana penuh fokus dan strategi.


Acara sepak penalti, futsal dan bola jaring turut berlangsung dalam semangat kesukanan yang tinggi.


Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.


Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara, Yayasan Hasanah, Majlis Bandaraya Kuantan serta semua sukarelawan yang membantu menjayakan Program Semarak Merdeka Inderapura 2026.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page