Krisis di N Sembilan beri pengajaran PH bina kekuatan sendiri - Saifuddin
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 2 min read

Mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini berjaya mencapai kata sepakat demi memastikan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan terus berfungsi di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan keputusan berkenaan dianggap terbaik bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negeri dalam suasana politik dan ekonomi yang mencabar ketika ini.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dibentuk berasaskan dua nilai iaitu kepercayaan dan penghormatan antara satu sama lain.
"Saya ‘salute’ Tok Min (Aminuddin) berjaya mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan dan mentadbir dengan jayanya.
"Saya juga setuju dengan Tok Min bahawa kejutan ini (krisis politik) banyak hikmahnya. Pertama ialah mengajar kita bahawa dalam politik walau apa pun ributnya, ia mesti bermula dengan kita membina kekuatan politik kita sendiri. Mesti bermula dari situ.
"Kita tak jadi kuat hanya kerana lawan kita lemah, (tapi) kita jadi kuat kerana kita bina kekuatan kita sendiri," katanya dalam Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH yang diadakan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Ceramah yang bertemakan ‘Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat’ itu menampilkan pimpinan tertinggi PH termasuk Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Hadir sama, Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menzahirkan rasa terkilan dengan krisis politik yang berlaku di negeri berkenaan di saat Kerajaan Persekutuan sedang menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam menghadapi krisis Asia Barat.
Katanya, meskipun kos insurans dan operasi kapal meningkat, kerajaan tetap komited mempertahankan kebajikan rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, harga petrol di pam masih dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter, namun mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
"Dalam suasana (kita sedang jaga kebajikan rakyat) tiba-tiba dilakukan langkah kejutan baru-baru ini. Itu kita rasa terkilan sangat. Kalau kita letakkan keutamaan kepada rakyat, kita akan fikir banyak kali untuk melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kestabilan politik.
"(Jadi), dalam tempoh berbaki kurang dua tahun ini, kita letakkan keyakinan kuat kepada saudara Anwar Ibrahim untuk meneruskan penggal berbaki.
"Kalau ditanya apa hala tuju PH, kita nak berusaha memerintah (untuk) penggal kedua dan Anwar Ibrahim memimpin sebagai Perdana Menteri," ujarnya lagi.




Comments