KPM teliti strategi kukuh akses pendidikan kawasan pedalaman
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus melaksanakan usaha berterusan bagi memastikan setiap murid, termasuk di kawasan pedalaman dan terpencil, mendapat akses pendidikan menyeluruh dan inklusif.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan yang diambil tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan aspek pembangunan murid secara holistik.
"Kita mahu lihat bagaimana pembangunan anak-anak ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sekadar binaan fizikal tetapi meliputi sokongan sahsiah, kebajikan dan pembangunan insan," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sekolah Angkat Madani di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam pada itu Fadhlina memaklumkan, kementerian menyedari sebahagian murid berdepan kesukaran akses pendidikan akibat faktor geografi dan kekangan kos pengangkutan tinggi.
Justeru pihaknya merancang membawa pendekatan baharu di kawasan terbabit termasuk pembinaan sekolah terapung di kawasan seperti di Tasik Banding.
"Kita sedang melihat model terbaik dan memerlukan sokongan semua pihak untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan berkesan
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang KPM untuk memastikan akses pendidikan lebih inklusif dan menepati realiti komuniti setempat," tambahnya.
Comments