
Oleh: Abdullah Zaid
Sebanyak 791 buah sekolah kerajaan di Perak menerima manfaat RM30.5 juta oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan penyelenggaraan aset bangunan, tanah dan infrastruktur tahun ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, menerusi Belanjawan 2024 kerajaan memperuntukan RM 900 juta bagi penyelenggaran itu membabitkan semua institusi di bawah KPM.
"Penyaluran peruntukan berdasarkan kepada keperluan mengikut permohonan dan susunan keutamaan yang dikemukan KPM oleh sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah atau Negeri.
"Oleh itu, KPM akan memastikan peruntukan penyelenggaran dimanfaat kepada semua sekolah termasuk di Parlimen Bukit Gantang," katanya menerusi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai jumlah menaik taraf kemudahan sekolah rendah dan sekolah menengah serta kemajuan pembinaan Sekolah Pendidikan Khas di Simpang, Parlimen Bukit Gantang.
Sementara itu, mengenai status pembinaan sekolah khas pula, Fadhlina memaklumkan projek pembinaan kompleks khas fasa satu itu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12).
"Projek pembinaan Kompleks Pendidikan Khas Taiping Fasa Satu merangkumi 18 bilik darjah beserta kelengkapan perabot peralatan dan ia telah diluluslan dalam RMK 12.
"Penyediaan itu bagi memberi perkhidmatan sokongan kepada murid khas di bahagian Perak Utara seperti daerah Kerian, Hulu Perak, Larut, Matang dan Selama," ujarnya.
Berdasarkan perkembangan semasa, Fadhlina berkata projek itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya secara ‘lead consultant’.
"Setakat ini lantikan ‘lead consultant’ telah pada 27 Disember 2023 lalu dan proses reka bentuk sedang dilaksanakan," ujarnya.
Comments