Oleh: Noraini Nordin
Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pelajaran menerusi intervensi kurikulum murid Tahun Satu.
Empat langkah itu ialah:
1. Dokumen penjajaran kurikulum standard sekolah rendah (KSSR) (Semakan 2017) Edisi 3
2.Pengesanan awal literasi dan numerasi
3.Pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang mesra ibu bapa
4. Penataran dokumen penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, empat langkah ini adalah susulan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan ia merupakan salah satu sumber maklumat penting dalam pembangunan kurikulum.
Menurutnya, kurikulum adalah bersifat dinamik dan progresif serta memerlukan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa agar seiring lagi relevan dengan keperluan masa kini dan masa akan datang.
Pada masa sama, kata beliau, KPM mengambil pendekatan untuk melihat ke hadapan, terutamanya dalam rangka persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter.
"KPM amat menghargai keprihatinan dan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap kurikulum persekolahan sedia ada.
"KPM juga memandang serius terhadap kegusaran yang diutarakan seperti aras kurikulum yang tinggi, kandungan kurikulum kurang sesuai dengan usia murid, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sukar difahami dan ibu bapa tiada akses untuk mendapatkan pelaporan PBD," katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas mengenai empat langkah itu, Fadhlina berkata, KPM telah menyediakan Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025.
Penjajaran kurikulum, katanya, melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I sedia ada.
"Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 ini disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap I.
"Dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula akan menyusul," katanya lagi.
Comments