KPM pantau perkembangan pelajar Malaysia kemalangan di Mesir
- Suara Keadilan
- Jan 29
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memantau rapat insiden kemalangan kereta membabitkan lapan pelajar Malaysia Universiti Al-Azhar di Timur Laut Mesir.
Menerusi satu kenyataan kementerian itu berkata, perkembangan diikuti melalui Kementerian Luar Negeri menerusi Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM) dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut insiden itu dari semasa ke semasa.
"KPT mengambil maklum lapan pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam insiden kemalangan kenderaan ketika dalam perjalanan dari Kaherah ke Port Said.
"Lima orang pelajar dilaporkan mengalami luka ringan dan dirawat di wad pesakit luar, Hospital Sayed Galal, Kaherah manakala tiga orang pelajar lagi ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.
Terdahulu, EMM dalam satu catatan di akaun Facebook menyatakan kemalangan berlaku kira-kira 12 tengah hari, Sabtu.
Lima pelajar terbabit ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Tiga lagi pelajar iaitu Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi mengalami kecederaan serius dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut.
Sementara itu KPT memaklumkan, sistem pembangunan data disediakan menerusi inisiatif MyData@EducationMalaysia4U.
Oleh itu pelajar digalakkan untuk mengemas kini butiran peribadi dan pengajian ke dalam portal rasmi Jabatan Pendidikan Tinggi bagi capaian maklumat data tepat dan cepat sekiranya berlaku kecemasan.
Pelajar juga boleh terus berhubung dengan Education Malaysia Mesir di alamat Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), 26, Sabil Alkhazender St, From Abdou Basha Square, Abbasiah, Cairo, Arab Republic of Egypt atau telefon di nombor +00 202 2487 3858 atau e-mel di em.mesir@mohe.gov.my.
Comments