KPM-Mindef kerjasama bina sekolah Serudung Laut menerusi projek khas
- Suara Keadilan
- Jun 29
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan tiada pelajar di kawasan pedalaman Sabah tercicir daripada arus pendidikan.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, bagi tujuan itu KPM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang melaksanakan projek khas membina sebuah sekolah di Kampung Serudong Laut, sebagai langkah memperluas akses pendidikan untuk anak-anak di kawasan terbabit.
"Kita bekerjasama dengan Mindef untuk membina sekolah di Kampung Serudong Laut bagi memastikan akses pendidikan dapat dibangunkan.
"Kini ia dalam proses pelaksanaan, dan berdasarkan tinjauan saya tempoh hari, kawasan itu mempunyai ruang serta akses yang sangat baik," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.
Menurut Fadhlina, sementara menunggu pembinaan sekolah kekal disiapkan, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan memulakan kelas pembelajaran supaya pendidikan anak-anak kampung tersebut tidak terjejas.
"Kita memulakan program khas ini bagi memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan. Kelas-kelas dikendalikan secara bergilir oleh guru-guru yang disediakan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
"Setakat ini terdapat kira-kira 20 hingga 30 murid mengikuti kelas tersebut. Kita juga sedang mengumpul data bagi merekod jumlah keseluruhan pelajar, dan angka ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa," jelas beliau.
Mei lalu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita KEADILAN telah mengadakan lawatan di bawah Program Tindak Susul Parlimen bagi melihat sendiri keperluan pendidikan di perkampungan yang terletak di daerah Kalabakan itu.
Akses ke perkampungan tersebut melalui jalan laut mengambil masa sehingga tiga jam bergantung kepada jenis enjin bot, manakala laluan darat ke Tawau boleh mengambil masa kira-kira empat jam.
Commentaires