top of page

KPM laksana audit keselamatan pastikan sekolah ikut SOP - Fadhlina

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 16
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal beriltizam memperkukuh ekosistem keselamatan di sekolah bagi memastikan setiap murid berada dalam persekitaran yang selamat, harmoni dan kondusif untuk pembelajaran.


Menterinya, Fadhlina Sidek (gambar) menegaskan, pihaknya memandang serius semua kejadian jenayah yang berlaku melibatkan murid di kawasan sekolah baru-baru ini.


Beliau berkata, peristiwa itu bukan sekadar satu amaran, tetapi satu peringatan keras yang mengingatkan semua pihak bahawa keselamatan dan kesejahteraan murid tidak boleh dipandang ringan.


''Sejak sekian lama KPM telah mempunyai mekanisme yang jelas menerusi ketetapan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai panduan kepada pentadbir sekolah.


''Antaranya melalui SPI Bil 13 Tahun 2023 yang memperincikan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di institusi pendidikan bawah KPM.


''SPI Bil 8 Tahun 2011 berkaitan garis panduan pengurusan keselamatan murid, manakala SPI Bil 4 Tahun 2002 bertujuan mewujudkan suasana sekolah selamat agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dalam suasana yang kondusif.


''SPI Bil 9 Tahun 2000 pula merupakan panduan keselamatan diri pelajar semasa pengajaran pendidikan jasmani dan kesihatan serta kegiatan kokurikulum,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang.


Ia termasuk dari segi keselamatan fizikal di sekolah pengawasan guru, mekanisme aduan yang efektif serta sokongan kepada mangsa dari aspek psikososial dan perundangan.


Menjelaskan lanjut, Fadhlina berkata, penegasan tersebut berkait rapat dengan konsep sekolah selamat yang menekankan keperluan untuk mewujudkan persekitaran fizikal, sosial dan emosi yang selamat serta kondusif bagi seluruh warga sekolah.


Ujar beliau, ia juga diikuti dengan tinjauan keselamatan ke sekolah oleh jawatankuasa khas reformasi keselamatan institusi pendidikan yang telah ditubuhkan bagi menangani isu-isu keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.


''Selain itu, KPM turut melaksanakan audit keselamatan di seluruh negara bagi memastikan isu-isu keselamatan dikenal pasti melalui proses audit yang tersusun dan teratur.


''Langkah ini bertujuan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dipatuhi selaras dengan peraturan yang ditetapkan.


''Semakan semula SOP salah laku buli dan seksual dan reformasi sistem aduan buli. Ini sangat penting bagi membolehkan anak-anak kita berasa selamat untuk membuat aduan dengan pelindungan identiti. Begitu juga pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah pencegahan,'' katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page