KPM buat penelitian rapi sebelum laksana pendidikan awal umur 5 tahun
- Suara Keadilan

- Aug 4
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam proses penelitian aspek teknikal dan operasi untuk memastikan dasar pendidikan awal kanak-kanak bermula pada usia lima tahun boleh dilaksanakan.
Menterinya Fadhlina Sidek (gambar) berkata, penelitian meliputi keperluan sumber tenaga pengajar, prasarana, serta kesediaan semua pihak terlibat itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut mampu memperkukuh pendidikan awal negara.
"Perkara membabitkan soal dasar udah selesai dan kita cuma perlu melihat soal operasi secara khusus bagi memastikan apabila ia dilaksanakan, dasar ini boleh berjalan dengan baik.
"Kita masih ada masa sepanjang lima tahun Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). KPM akan mengadakan taklimat khas kepada pihak media untuk penerangan menyeluruh mengenai langkah ini," katanya dipetik pada satu acara di Kota Bahru semalam.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu Tahun 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat minggu lalu mengumumkan bahawa kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.
Menteri Kewangan itu berkata inisiatif berkenaan bagi memperkukuhkan pendidikan negara dan akan disusuli lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa.
Sementara itu, Fadhlina ketika ditanya mengenai kemungkinan perubahan usia kemasukan ke Tahun Satu kepada enam tahun atau pelajar menduduki SPM pada usia 16 tahun berkata, perkara itu akan diumumkan selepas perincian dibuat.









Comments