KPKT sasar tiada lagi projek sakit babitkan PR1MA - Kor Ming
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan tiada lagi projek sakit membabitkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menjelang tahun hadapan.
Menterinya Nga Kor Ming berkata, menerusi komitmen PR1MA dan Kerajaan MADANI, sebanyak 31 daripada 34 projek sakit di bawah perbadanan itu merangkumi 20,470 unit kediaman berjaya disiapkan setakat April lalu.
"Berbaki tiga projek lagi iaitu Residensi Klebang dan Bukit Katil di Melaka serta Residensi Simpang Empat 2 di Kedah akan disiapkan menjelang akhir tahun ini.
"PRIMA kini giat melaksanakan program membabitkan kerja penambahbaikan (P&P) seperti landskap, padang bola dan surau sebagai nilai tambah bagi mewujudkan persekitaran lebih kondusif," katanya kepada media di Majlis Penyerahan Kunci Residensi Bandar Ekar, di Rembau pada Jumaat.
Projek dengan nilai pembangunan kasar RM172 juta itu membabitkan 766 unit kediaman teres satu setengah dan dua tingkat yang dimulakan pada 1 Feb 2017 pada awalnya dijadual siap 31 Mei 2020.
Bagaimanapun ia berdepan kelewatan susulan pelbagai kekangan termasuk pendemik COVID-19.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming memaklumkan bahawa mana-mana kontraktor atau syarikat termasuk ahli lembaga pengarah syarikat yang mengakibatkan projek sakit tanpa alasan munasabah tidak lagi dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang projek di bawah KPKT dan PR1MA .
Jelasnya, langkah tersebut bagi memastikan tiada lagi projek terbengkalai pada masa hadapan.
Comments