Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor bagi menyelesaikan isu penempatan semula 10,301 unit rumah setinggan
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam satu sidang media di Johor Bahru pada Ahad berkata, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor sudah ditubuhkan bagi tujuan itu
Tambahnya, antara tindakan jangka masa panjang yang diputuskan bagi menangani isu itu adalah mengkhaskan sejumlah unit Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi penempatan semula penduduk setinggan di 134 kampung terbabit.
"Untuk PPR, memang kita sasarkan untuk kegunaan kumpulan B40, oleh itu kita mengharapkan ia dapat membantu selesaikan masalah setinggan," katanya dipetik.
Akmal sebelumnya hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya yang turut dihadiri Mohd Jafni dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Dalam majlis berkenaan, 400 rumah di PPR Cahaya Senibong, Permas Jaya diserahkan KPKT kepada kerajaan negeri dengan 200 rumah dikhaskan bagi penempatan semula setinggan.
Sementara itu Mohd Jafni berkata, untuk peringkat awal kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada penempatan setinggan di tepi sungai atau di kawasan yang kerap dilanda banjir kilat.
"Penempatan semula setinggan itu akan melalui proses penapisan ketat dengan keutamaan diberi kepada orang Johor," katanya.
Satu lampiran
Kommentare