KPKT bakal bentang 3 RUU, didik masyarakat jaga kebersihan awam
- Suara Keadilan
- Jul 20
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk memperkasa aspek kebersihan awam negara.
Menterinya Nga Kor Ming (gambar) berkata, pihaknya akan membentangkan tiga rang undang-undang (pindaan) pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula minggu depan bertujuan mengekang tabiat membuang sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman dan pembungkus makanan di kawasan awam.
"Pindaan ini akan memupuk tanggungjawab sivik, meningkatkan kesedaran awam serta membudayakan amalan menjaga kebersihan terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026
"Usaha ini sekali gus akan menyumbang ke arah Malaysia yang lebih bersih dan lestari sekaligus memberikan tanggapan pertama yang positif kepada pelancong asing," katanya dalam kenyataan.
Tiga akta tersebut ialah berkaitan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Pindaan dicadangkan ialah untuk memberi kuasa kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam ke atas pesalah yang disabitkan, dengan kegagalan mematuhi perintah itu boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000.
Mengulas lanjur Kor Ming memaklumkan statistik semasa Program Hari Cuci Malaysia di Pasar Seni pada September lalu membuktikan keperluan tindakan lebih tegas dan mendidik.
"Semasa program itu KPKT merekodkan kutipan 51.9 kilogram (kg) sisa makanan, 64.3 kg sisa kertas, 127.6 kg sisa plastik dan 541 batang puntung rokok dalam tempoh 12 jam.
"Ini membuktikan penguatkuasaan denda tidak lagi berkesan untuk mencegah tabiat pembuangan sampah sewenang-wenangnya.
"Justeru, hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat wajar dilaksanakan bagi mendidik pesalah agar lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar," katanya.
Comments