KPKM aktif Bilik Gerakan Bencana bantu petani, nelayan terjejas banjir
- Suara Keadilan

- Nov 28
- 1 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana serta menggerakkan operasi di semua peringkat.
Menerusi satu kenyataan KPKM memaklumkan, langkah itu bagi membantu petani, penternak, peladang, dan nelayan yang terjejas akibat banjir di Kelantan, Perlis, Perak, Kedah, Terengganu, dan Selangor.
"KPKM telah menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat untuk memantau cuaca, membuat hebahan awal, dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian sektor agromakanan.
"Langkah ini selaras dengan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku dari 13 November hingga Mac tahun depan, dengan potensi hujan lebat dan banjir di beberapa negeri," kata kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu kementerian itu juga memaklumkan, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM dengan dihadir Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Mesyuarat bersetuju KPKM akan memberikan kerjasama penuh membantu NADMA menyalurkan kit bantuan banjir melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta menggerakkan jentera bantuan banjir melalui Jabatan Pertanian (DOA) dan diperluas dengan penglibatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
"Selain itu, KPKM juga menyediakan bantuan pasca bencana melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) untuk membantu mereka yang terkesan.
"Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana KPKM di talian 03-8870 1663 / 1664 / 1491 atau Bilik Gerakan Negeri untuk maklumat lanjut," tambah kenyataan tersebut.









Comments