KPDN pastikan bekalan makanan asas mangsa banjir Sabah tidak terputus
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan asas mangsa banjir di Sabah tidak terputus
Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya telah menggerakkan langkah mengagihkan lebih awal bekalan kepada pengedar di zon terdekat kawasan banjir.
Usaha itu bagi memastikan kelancaran penyaluran bantuan pasca banjir kepada mangsa.
"Daripada pihak KPDN, kita sedaya upaya akan pastikan bekalan tidak terputus. Bekalan diagihkan lebih awal bagi memastikan kelancaran penyaluran bantuan kepada mangsa," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hantaran itu menyusul lawatannya mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi mangsa banjir di Sabah pada Jumaat.
Sambil meluahkan rasa sebak melihat sendiri kesusahan keluarga yang terpaksa meninggalkan rumah demi keselamatan, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa banjir mampu bangkit lebih kuat selepas berdepan musibah ini
"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ada yang kehilangan harta benda, ada juga yang hanya mampu membawa diri dan keluarga," tambahnya.
Comments