
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan pegawai bagi memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata, pegawai penguatkuasa KPDN ditugaskan di lokasi strategik di seluruh negara sepanjang pelaksanaan skim itu.
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya dipetik.
Pelaksanaan SHMMP ini, antara langkah kerajaan bagi menjaga serta memelihara kebajikan hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebagai persediaan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
SHMMP sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 25 Januari sehingga 2 Februari ini melibatkan 16 jenis barangan yang akan dikawal dari segi paras harga maksimum, yang disesuaikan mengikut keseimbangan penawaran dan permintaan menjelang, semasa dan selepas perayaan, di samping faktor lain seperti kos semasa, cuaca dan kadar upah.
Fuziah sementara itu memohon kerjasama orang ramai memaklumkan kepada kementerian sekiranya berlaku salah laku oleh mana-mana pihak berhubung ketidakpatuhan ke atas skim berkenaan.
Comentarios